10 Kesan Beriman Bertapak di Dalam Hati

10-tanda-kesan-iman-dalam-hati-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Ketahui oleh mu, kesan orang beriman di dalam hati akan dapat dirasai oleh setiap orang yang bertakwa dengan sebenar-benar takwa. Tetapi bagaimanakah caranya dan bukti untuk merasainya? Itulah yang kita akan bincangkan pada hari ini.

 

10 Tanda Kesan Iman di Dalam Hati.

1. Seorang itu akan cepat/segera mengikut arahan.

Sebagaimana Firman Allah:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

(Az-Zumar 39:18)

Jadi, mari kita muhasabah diri kita. Adakah kita salah seorang yang bersegera mengikut arahan Allah atau tidak? Tepuk dada tanyalah iman anda. Jika tidak, marilah kita sama-sama usahakannya dengan menambahkan amal ibadah kita sebagai bukti ketakwaan kepada Allah S.W.T.

 

2. Ada suatu kawalan dalam diri kita.

Dan ini adalah tanda utama iman telah menguasai diri kita. Kerana apabila iman menguasai diri kita, kita akan berasa Allah Ta’ala  sentiasa mendengar dan melihat kita kerana dia akan faham yang Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Disebabkan itu, kita akan menjaga segala kelakuan kita walaupun kita berseorangan.

Namun, penulis sendiri tidak sampai lagi ke tahap ini. Tapi marilah kita bersama-sama mengusahakannya dengan menggilap balik iman kita. Salah satu caranya adalah dengan menuntut ilmu di samping menghayati apa yang dipelajarinya.

 

3. Seorang itu akan zuhud dengan dunia.

Yang bermakna, seseorang yang beriman itu akan zuhud terhadap segala perhiasan dunia ini. Dan maksud zuhud itu pula bukanlah meniggalkan dunia sepenuhnya. Tetapi maksud yang sebenar akan zuhud itu adalah dengan tidak meletakkan cinta akan dunia di dalam hatinya. Iaitu beliau hanya meletakkan dunia di dalam “poketnya” sahaja.

Sebagai contoh, jika, anda mempunyai lebihan wang dan ada pula orang yang lebih memerlukannya. Jika anda zuhud akan dunia, anda akan berasa senang sahaja untuk mengifakkannya atau menderma lebihan harta mengikut kemampuan anda. Tetapi ingat, tidak salah untuk menjadi orang kaya yang beriman. Tetapi pastikan anda tidak menjadi orang beriman yang bakhil atau mencari rezeki daripada jalan yang tidak halal.

Senang cerita, tanda paling jelas akan seorang yang zuhud akan dunia ini adalah, apabila dunia terlepas daripadanya dia tidak akan berdukacita dengannya dan pekerjaan yang dia lakukan tidak akan mengurangkan amal ibadahnya.

 

4. Mendapat Pertolongan daripada Allah.

Yang bermaksud, orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, dia tidak akan bergantung kepada orang lain bahkan kepada dirinya juga. Hal ini kerana, dia hanya akan bergantung kepada Allah Azza Wa Jalla sepenuhnya dengan sentiasa mengharapkan pertolongan Allah bukannya kepada manusia. Insya Allah dengan keihklasannya, Allah akan memberikan bantuan dan jalan keluar baginya. Disebabkan inilah,doa para rasul, para nabi dan para wali Allah sentiasa dimakbulkan oleh-Nya. Tetapi ingat, usaha dan berikhtihar masih perlu dilakukan kerana berdoa sahaja tanpa usaha adalah sia-sia.

 

5. Menghidupkan kekuatan yang tersembunyi dalam jiwa.

Kata para ulama “kekuatan iman seorang mukmin di dalam hatinya“. Hal ini demikian kerana, jikalau kekuatan iman itu terletak pada tubuh badan yang sihat sudah tentu masjid atau surau akan dipenuhi oleh orang-orang muda yang sihat walafiat. Contohnya seperti, ahli marathoners atau pengayuh basikal yang mampu berlari serta mengayuh basikal selama berpuluh-puluh kilometer. Tetapi malangnya, kebanyakan masjid dan surau hanya dipenuhi orang-orang tua dan kanak-kanak sahaja. Orang-orang muda dalam lingkungan 20-40 tahun sangatlah sedikit. Padahal, jika hendak dibandingkan, orang muda lebih kuat dan lebih berkemampuan berbanding orang tua.  Oleh itu, kekuatan yang tersembunyi itu bermaksud kekuatan iman seseorang itu.

 

6. Nampak seorang itu akan tamak untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Contohnya, orang yang beriman dan bertakwa akan membiasakan diri agar selalu membaca al-Quran, melakukan solat sunat rawatib, solat 20 rakaat tarawih atau pun solat pada akhir malam. Iaitu mereka akan berlumba-lumba untuk melakukan amal soleh dan beribadah kepada Allah. Walaupun selalunya mereka akan menyembunyikan amal ibadah mereka, kita akan tersedar atau ternampak juga kadang-kadang.

 

7. Hilang sifat-sifat negatif.

Iaitu orang sentiasa beriman dan bertakwa akan sentiasa bersangka baik dan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Mereka tidak akan banyak bercakap tetapi banyak berzikir dan membaca al-Quran serta tidak suka bercakap tentang hal orang lain. Malah, mereka akan juga sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik kepada Allah apabila ditimpa ujian atau musibah serta percaya dengan yakin bahawa ada hikmah disebalik ujian ini.

 

8. Kita akan boleh memberi kesan kepada manusia.

Yang bererti segala nasihat atau teguran akan mudah disampaikan dan dapat memberi kesan kepada orang ramai. Contohnya seperti para sheikh,  para ustaz dan para wali Allah. Mereka ini bercakap dengan penuh keimanan dalam hati untuk menyampaikan ilmu supaya orang lain juga dapat merasakan kemanisan iman. Kerana mereka memberi nasihat daripada hati ke hati dengan penuh keikhlasan. Mereka inilah orang-orang yang soleh. Apa yang perlu kita lakukan untuk mencapai darjat ini? Ada 3 cara:

  • Takut kepada Allah.
  • Tanam sifat malu kepada Allah.
  • Memperelokkan diri kita dahulu sebelum orang lain. Iaitu memimpin mereka melalui tauladan.

 

9. Orang yang beriman akan mudah membuat keputusan yang susah/berat.

Dan menurut syarahan Dr Abdul Basit, antara keputusan yang berat bagi seseorang yang beriman adalah:

  1. Menjadi saksi kepada sesuatu perkara.
  2. Mudah untuk membezakan yang hak dan batil.
  3. Berani mengaku salah.
  4. Menerima nasihat orang walaupun pahit.
  5. Orang yang boleh melakukan amar makruf nahi mungkar kepada kawan-kawannya dan juga kepada orang yang mempunyai kedudukan.
  6. Masih memberi infak kepada mana-mana tempat yang memerlukan di saat dia juga memerlukannya.
  7. Berkorban dengan perkara-perkara yang kita sayangi seperti tidur dan makan. Sebagi contoh, mereka akan kurang makan dan banyak bangun di akhir malam untuk berqiamullail.

 

10. Dia akan tenang dan tidak mudah resah.

Kerana mereka akan Redha dengan qada’ dan qadar Allah dan bersandar kepada Allah sepenuhnya. Mereka tidak merasa terlalu gembira pada nikmat-Nya dan tidak merasa resah dengan ujian-Nya. Kerana dia faham semua ini sudah ditentukan. Keimanan seperti inilah yang dicari-cari oleh kita.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

(Yunus 10: 62-63)

 

Kesimpulannya.

Apabila kita beriman kepada Allah, kita akan nampak iman tersebut. Tetapi bagaimana kita nak tunjukkan bukti keimanan? Jawapannya, hanya kita seorang je boleh buktikan. Bukan dengan percakapan,penulisan tetapi dengan amal ibadah kita. Semoga bermanfaat dan selamat beramal semua.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

  1. Dr.Abdul Basit Abdul Rahman: 10 Perkara Kesan Iman Di Dalam Hati

 

Comments

comments

Related Post

Siapakah dia Mukmin Yang Sejati? ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Kelebihan Takwa Dalam Islam ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.