16 Pesanan Ikhlas kepada Penuntut Ilmu

16-Pesanan-Kepada-Penuntut-Ilmu-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Alhamdulillah,kerana kita dapat berjumpa sekali lagi di sini. Pada hari ini saya mahu mengkongsikan 16 pesanan penting kepada kesemua penuntut ilmu. Dan kesemua 16 pesanan ini telah diambil daripada buku yang bertajuk Wahai Penuntut Ilmu.

Buku ini juga telah diterangkan oleh Dr Abdul Basit atau juga digelar Dr. Abu Anas Al-Madani. Jadi, segala perkongsian saya ini adalah berdasarkan kefahaman saya terhadap penjelasan Dr Abdul Basit. Di samping itu, pada pandangan saya, 16 pesanan ini sangat perlu difahami dan dipraktikkan di dalam kehidupan seorang penuntut ilmu.

Dan kepentingan utama dalam memahami 16 pesanan ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah cara-cara untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat di dunia dan di akhirat? Itulah perbincangan utama dalam artikel kita pada kali ini.

16 pesanan kepada semua penuntut ilmu.

1. Banyakkan berdoa kepada Allah.

Hal ini kerana, ilmu datangnya dari Allah Ta’ala bukannya daripada makhluk. Hanya Allah sahaja yang mampu memberi kefahaman kepada kita dan kita sebagai hamba hanya berusaha mendapatkannya. Jadi, pastikan anda sentiasa memulakan pengajian anda dengan berdoa kepada Allah S.W.T.

Sebagai contoh, jika anda sering ke majlis ilmu, anda akan sering mendengar para ustaz memulakan kuliah mereka dengan berdoa dan mengakhiri kuliah juga mereka dengan berdoa. Dan amalan berdoa ini adalah untuk semua subjek pelajaran bukannya hanya untuk subjek agama sahaja. Kerana pada pemerhatian saya, para penuntut ilmu sering terlupa berdoa jika mereka menuntut ilmu berbentuk fardhu kifayah.

Doa menuntut ilmu tersebut adalah seperti di bawah:

doa-menuntut-ilmu-Malaya-Journal

2. Ikhlaskan niat untuk menuntut ilmu.

Kerana dengan niat yang ikhlas akan memudahkan proses pembelajaran anda. Dan pastikan hati anda menuntut ilmu kerana Allah S.W.T. dan untuk menjadi seorang yang berilmu bukannya untuk mendapat gelaran, dipandang tinggi oleh orang ramai atau pun supaya orang kagum dengan anda.

Jika perasaan seperti ini wujud dalam diri anda, bersihkan dahulu hati anda. Kerana penuntut ilmu yang tidak ikhlas hatinya akan mudah diperdayakan syaitan dan iblis. Maka, mudahlah mereka dibinasakan disebabkan bisikan musuh mereka itu walaupun mereka bijak pandai di dalam agama sekalipun.

 

3. Menjauhkan diri daripada Maksiat.

Kerana menjauhkan diri daripada maksiat merupakan ubat yang paling mujarab untuk menguatkan ingatan anda. Hal ini demikian kerana, ilmu adalah cahaya dan maksiat adalah kegelapan. Maka mustahillah untuk ilmu memasuki hati seorang penuntut ilmu jika hati pelakunya dipenuhi maksiat dan bintitk-bintik hitam dihatinya. Disebabkan itu, ilmu yang berkat akan terhalang oleh maksiat. Jadi, berusahalah menjauhkan diri daripada maksiat dengan bersungguh-suungguh terutamanya jika anda seorang penuntut ilmu.

 

4. Membaca buku sejarah para ulama’ bagaimana mereka Menuntut Ilmu.

Kerana apabila anda membaca buku-buku tersebut, anda akan berasa kesusahan mereka dalam menuntut ilmu pengetahuan. Bak kata pepatah orang putih “learn from the best“. Dan saya syorkan anda membaca buku Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab  atau Nilai Masa di Sisi Ulama. Dengan membaca buku ini, akan akan mengetahui betapa besar pengorbanan yang telah mereka lalui demi mencari ilmu yang berkat.

 

5. Bacalah kitab tentang adab-adab Menuntut Ilmu.

Kerana pada zaman sekarang ini, ramai murid atau penuntut ilmu yang tidak menghormati guru mereka. Disebabkan itu, ilmu mereka hilang keberkatan dan sukar memahami ilmu yang dipelajari. Oleh itu, adab menuntut ilmu perlu dipelajari dahulu sebelum menuntut sesuatu ilmu.

 

6. Kita hendaklah berkawan dan duduk bersama-sama orang yang suka membaca dan mempunyai kefahaman yang tajam.

Hal ini kerana, berkawan dengan kawan yang suka menuntut ilmu dan bersungguh-sungguh akan menyebabkan kita pun terpengaruh juga. Sebagaimana kawan yang baik akan menarik kawannya menjadi baik juga. Jadi, elakkanlah berkawan dengan kawan yang pemalas kerana anda kemungkinan akan menjadi pemalas juga.

 

7. Kuatkan jiwa supaya tidak putus Harapan.

Yang bermaksud, jangan mengalah jika anda gagal atau sukar memahami sesuatu ilmu. Sebagai contoh, ada sesetengah hafiz al-Quran yang menghafal selama 1 tahun sahaja, ada pula yang mengambil 3, 4 dan 5 tahun untuk menghafalnya. Padahal umur mereka lebih kurang sahaja. Untuk mengelakkan putus harapan anda, fokuskan kepada effort anda sahaja. Biarlah Allah yang tentukan sama ada anda faham atau tidak, gagal atau lulus, hafal atau terlupa, itu semua takdir Allah. Yang penting anda lakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati anda.

 

8. Lihatlah kepada kawan-kawan anda yang serba kekurangan tetapi semangatnya tinggi.

Sebagai contoh, saya ada kawan yang agak kurang berkemampuan dari sudut kewangan. Tetapi itu tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka daripada berjaya dengan cemerlang. Padahal saya mempunyai banyak kelebihan berbanding dia. Dengan ini, dia telah memberi semangat kepada saya untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu.

 

9. Susun jadual betul-betul.

Kerana para penuntut ilmu sepatutnya menjadi orang-orang yang kedekut akan masanya sepertimana orang bakhil yang sangat kedekut akan hartanya. Kerana masa bagi penuntut ilmu adalah yang paling bernilai di sisi mereka. Jadi, perancangan perlu dibuat supaya anda mudah untuk membahagikan masa anda dan mengelakkan diri daripada membuang masa dengan sia-sia.

 

10. Mengulangkaji ilmu.

Dan ini adalah suatu kemestian bagi seorang penuntut ilmu. Kerana otak kita bukanlah seperti Imam As- Syafie’ atau Imam Bukhari yang boleh menghafal dengan mudah serta faham dengan cepat. Jadi, melihat kembali ilmu yang dipelajari boleh menguatkan kefahaman dan hafalan seseorang penuntut ilmu.

 

11. Sebarkan ilmu yang dipelajari,didengari dan difahami.

Iaitu dengan niat untuk melekatkan ilmu di dalam dada bukan untuk tujuan kebendaan. Di samping itu, terdapat juga banyak faedah sebenarnya jika anda menyebarkan sesuatu ilmu. Antaranya ialah:

  • Anda boleh menyebarkan ilmu kepada orang lain.
  • Ilmu itu akan menjadi manfaat untuk orang lain.
  • Mendapat pahala apabila orang lain beramal dengan ilmu yang anda ajarkan itu.

12. Banyakkan bersyukur dengan ilmu yang dipelajari dan difahami.

Dan cara yang terbaik untuk bersyukur dengan ilmu yang anda pelajari adalah dengan mengamalkan ilmu tersebut dan menambahkan amal ibadah anda kepada Allah Azza Wa Jalla. Dengan itu, barulah ilmu itu menjadi manfaat kepada diri anda kerana ia mendekatkan diri sang hamba kepada Sang Pencipta.

 

13. Hati-hati daripada hendak cepat naik.

Kerana ini adalah alat utama yang menjatuhkan seorang penuntut ilmu. Maka, perlulah anda bertwadduk kepada Allah S.W.T. supaya anda tidak ditipu syaitan hidup-hidup. Pastikan anda tidak berlumba-lumba untuk cepat naik pangkat atau jawatan semasa menuntut ilmu!

 

14. Sandarkan ilmu kepada ahlinya.

Seperti yang saya lakukan di atas. Iaitu dengan mengatakan saya mendapat 16 pesanan kepada penuntut ilmu yang berguna ini adalah daripada Dr Abdul Basit. Sebenarnya amat penting bagi seseorang penuntut ilmu untuk mengamalkan konsep ini. Kerana itu adalah sebagai tanda penghormatan sseorang penuntut ilmu kepada seorang guru.

 

15. Sentiasa mengambil faedah daripada syeikh atau ustaz yang mengajar ilmu.

Iaitu dengan merendahkan diri semasa menuntut ilmu. Jangan sesekali rasa diri anda hebat, lebih-lebih lagi apabila anda sudah belajar tajuk tersebut. Padahal kemungkinan penerangan atau contoh yang diberikan mungkin berbeza-beza. Ingat, orang yang bijak tidak akan pernah rasa cukup dengan ilmunya dan berhenti menuntut ilmu.

 

16. Banyakkan membaca al-Quran.

Akhir sekali, jangan lupa untuk membaca al-Quran walau sesibuk manapun seseorang penunut ilmu itu. Hal ini kerana, Imam Ibrahim Al-Maqdisi pernah mewasiatkan kepada muridnya dengan berkata:

Allah akan mempermudahkan ilmu yang kamu belajar mengikut kadar kamu membaca al-Quran

 Yang bermaksud, semakin banyak anda membaca al-Quran, semakin banyak anda akan memahami sesuatu ilmu. Dan itulah kepentingan membaca al-Quran di setiap masa. Jadi tidak hairanlah jika Imam Abu Hanifah dan Imam As-Syafie yang mampu membaca 30 juzu’ al-Quran pada setiap hari dapat belajar sesuatu ilmu tanpa mengambil masa yang lama untuk memahami dan menghafalkannya.

Namun, kita sebagai orang awam tidaklah mampu untuk mengkhatamkan satu al-Quran dalam satu hari. Jadi, saya rasa mari kita amalkan membaca al-Quran cuma 1 juzu’ sehari. Iaitu dengan membaca 2 helai muka surat al-Quran pada selepas setiap solat fardhu. InsyaAllah boleh.

 

Kesimpulannya, menuntut ilmu merupakan sesuatu ketaatan yang sangat besar dan mulia. Kerana para malaikat akan sentiasa turut serta bersama para penuntut ilmu terutamanya semasa majlis ilmu itu berjalan. Jika anda mahu tergolong dalam kalangan penuntut ilmu yang berjaya dunia dan akhirat, marilah sama-sama kita amalkanlah 16 pesanan ini. Wallahu a’lam.

Comments

comments

Related Post

Bekalan Daripada Rasulullah SAW Bagi Para Penuntut... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
4 Perkara Penting Kepada Yang Sedang Menuntut Ilmu ﷽ Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan tiada nabi lagi selepasnya, pembawa rahmat Keselur...
3 Adab Menuntut Ilmu menurut Imam Al-Ghazali ﷽ Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan tiada nabi lagi selepasnya, pembawa rahmat Keselur...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.