6 Tips Persahabatan dalam Islam oleh Imam Al Ghazali

6-Tips-Persahabatan-Dalam-Islam-Malaya-Journal

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan Tiada Nabi lagi selepasnya, Pembawa Rahmat Keseluruh Alam.

Persahabatan dalam islam adalah suatu yang tidak boleh dibawa main. Kerana pengaruh rakan sebaya adalah sangat kuat dalam kehidupan seseorang Muslim. Malah, seorang ibubapa juga tidak boleh menjaga anak sepanjang masa kerana terpaksa bekerja. Jadi, rakan sebayalah yang akan menggantikan tempat mereka buat sementara waktu itu.

Namun, adakah rakan sebaya mereka itu boleh dipercayai? Sebab ramai je anak-anak muda yang mula merokok, ponteng sekolah, pukul orang dan lain-lain lagi disebabkan pengaruh rakan sebaya. Sebagai langkah pencegahan, untuk mencegahnya daripada berlaku kepada anak-anak anda, ajarkan mereka 6 tips tentang persahabatan dalam Islam di bawah.



Untuk pengetahuan semua, segala tips ini telah diambil oleh saya daripada kitab Ihya’ Ulumuddin dalam tajuk hidup bermasyarakat dan telah diajarkan kepada saya oleh Ustaz Suhaimi Awang. Tanpa membuang masa lagi, mari kita merungkai satu persatu tips persahabatan dalam islam di bawah:

 

6 Tips Persahabatan Dalam Islam:

1. Jika kamu melayan dia, dia membalasnya dengan perlindungan.

Melayan di sini bermaksud apabila kita berbaik-baik dengan dia membalasnya dengan perlindungan pula. Perlindungan di sini bermaksud, dia tidak membalas perbuatan baik kita dengan mencaci maki dibelakang kita, tidak mengambil kesempatan di atas kebaikan kita dan sanggup tolong kita semasa susah.

 

2. Sahabat tersebut menjadi hiasan bagi diri kita.

Dalam sebuah kesempatan Nabi SAW meriwayatkan:

الْمُؤْمِنُ مَرْآةُ أَخِيهِ

“Seorang Mukmin adalah cerminan saudaranya”.

(Hadith Hasan)

Berdasarkan hadith di atas, disinilah pentingnya anak-anak anda bersahabat dengan sahabat yang elok akhlaknya dan agamanya. Kerana seseorang itu dinilai dengan siapa rakan karibnya. Dengan erti kata lain, jika sahabat anak-anak baik, maka insya Allah baiklah anak-anak anda itu kerana pengaruh baik mereka.

 

3. Bila kekurangan nafkah, dia akan mencukupkan.

Maksud mencukupkan di sini pula adalah kita dapat manfaat daripada rezeki beliau. Mungkin apabila kita kesuntukan wang beliau sanggup meminjamkan wang kita. Tetapi jangan salah faham pulak. Saya tidak pernah kata kita hanya perlu bersahabat dengan orang kaya sahaja. Walhal, ada je sahabat yang hidup sederhana tetapi sahabat itulah yang paling banyak membantu kita susah. Senang cerita, carilah sahabat yang senang tolong kita ketika susah dan juga bersama-sama ketika senang. Kaya atau tidak itu cerita lain.

 

4. Jika melihat kebaikan kita, dia akan menghitungnya.

Menghitung di sini bermaksud sahabat kita itu suka menyebut-nyebut kebaikan yang kita lakukan walaupun sedikit. Dengan harapan supaya kita bertambah semangat untuk melakukan kebaikan. Namun jangan salah sangka, menyebut kebaikan di sini bukannya seperti mengampu dan pujian yang berlebih-lebihan.

 

5. Bila kamu meminta, pasti dia akan memberi dan berusaha memberinya.

Bermaksud jika kamu meminta sesuatu daripada dia, dia akan memberikannya jika dia mempunyai lebihan harta. Tetapi jika mereka pun hidup ala kadar sahaja dan jika anda masih meminta, beliau masih juga berusaha memberikan kepada anda, mengikut kemampuan mereka. Kerana sedekah yang terbaik adalah ketika kita pun hendak menggunakannya. Sebagaimana orang-orang Ansar di zaman Rasulullah SAW yang bersedekah bermacam-macam dari segi harta, rumah dan isteri untuk memudahkan kehidupan golongan muhajirin selepas hijrah sehelai sepinggang ke Madinah. Tetapi diorang ni level lain, kita follow ikut kemampuan kita sahajalah.

Walaubagaimanapun, Islam tidak menggalakkan kita asyik meminta-minta kepada manusia walaupun mereka mampu untuk menolong. Jika anda susah, jangan tunjukkan kesusahan anda dengan harapan agar orang lain akan terasa ingin membantu anda. Sebaliknya, mintalah kepada Allah agar ditunjukkan jalan keluar daripada kesusahan tersebut.

 

6. Bila berkata-kata, dia membenarkannya dan selalu mempercayainya.

Yang bermakna, jika anda dan dia berselisih faham, dia akan mengalah untuk mengelakkan daripada berlaku permusuhan. Tetapi jika dia menipu jangan pula kita membenarkannya kerana menipu itu satu dosa dan ia adalah suatu yang dilarang dalam Islam.



Kesimpulannya, anak-anak kita perlu diajarkan tentang persahabatan dalam Islam seawal mungkin. Kerana masa yang terbaik untuk mengajarkan kepada anak-anak anda sudah pastinya ketika bawah 12 tahun. Dan jangan lupa berdoa kepada Allah supaya sentiasa memberikan hidayah kepada anak-anak kita semua.

Wallahua`lam.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.