8 Amalan Penenang Hati

8-Amalan-Penenang-Hati-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Alhamdulillah, pada hari ini saya mahu kongsi tentang 8 amalan penenang hati yang telah disampaikan oleh Dr Abu Anas Madani semasa kuliah beliau dijalankan. Semoga dengan  mengamalkan 8 amalan penenang hati ini, hati anda akan menjadi tenang dan tenteram. Juga, tujuan utama saya memilih tajuk ini adalah kerana, saya sendiri pernah mengalami hati dan perasaan yang sentiasa gelisah, tidak tenteram dan susah untuk mendapatkan ketenangan. Dan saya pasti anda juga pernah mengalami masalah yang sama seperti saya.

Justeru, saya harap sangat jika anda menghadapi masalah yang sama seperti saya, amalkanlah 8 amalan penang hati ini. Kerana ia berjaya membantu saya dengan izin Allah. Alhamdulillah. Walaubagaimanapun, sebelum mempraktikkan amalan penenang hati ini, wajiblah bagi seorang Muslim mentauhidkan Allah S.W.T. dan bertakwa dengan sebenar-benar takwa. Kerana hanya Allah Azza Wa Jalla yang mampu memberikan ketenangan ke dalam hati kita. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala:

Al-fath-48-4-malaya-Journal

Dia lah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada;

(Al-Fath 48:4)

 

Seterusnya, marilah kita bersama-sama merungkai dan memahami 8 amalan penenang hati yang telah diterangkan oleh Dr Abu Anas Madani di bawah.

8 Amalan Penenang Hati:

1. Kefahaman terhadap qada’ dan qadar.

Iaitu kita mesti faham bahawa segala apa yang terjadi adalah mengikut kehendak-Nya. Kerana tidak ada sesuatu pun  yang terjadi tanpa pengetahuan-Nya. Senang cerita, segala jenis takdir, musibah,cubaan atau nikmat yang anda alami terjadi kerana telah ditentukan oleh-Nya. Tetapi ingat, itu tidak bermaksud kita hanya perlu berpeluk tubuh sahaja.

Sebaliknya, kita wajib berusaha bersungguh-sungguh dan berikhtihar untuk perkara yang kita hajati. Bukan hanya berserah diri kepada Allah semata-mata tanpa berusaha. Serta haram hukumnya jika kita menyalahkan takdir-Nya terutamanya apabila perkara yang tidak diingini berlaku kepada diri anda.

Sebagai contoh, seorang pencuri, penagih dadah atau peminum arak mengatakan semua yang berlaku ke atas adalah takdir daripada Allah.  Padahal mereka mampu untuk mengubahnya. Dan disinilah kesilapan terbesar mereka kerana mereka mengambil jalan mudah iaitu dengan menyalahkan takdir. Perkara ini adalah diharamkan di dalam Islam.

Untuk mengelakkan perkara ini berlaku kepada kita semua, bersabarlah dengan segala ujian, berusaha, bertawakal dan jangan lupa untuk berdoa kepada Allah. Jika anda buat keempat-empat perkara di atas, maka tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan lagi dalam anda semua.

 

2. Belajar ilmu dengan Betul.

Iaitu ilmu seperti dosa dan pahala, syurga dan neraka atau pun halal dan haram dan sebagainya. Kerana kesemua ilmu ini akan membantu kita dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim. Juga, kesemua ilmu ini amat perlu kepada bimbingan seorang guru. Jadi tuntutlah ilmu dengan guru-guru atau para ustaz yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Negeri. Hal ini kerana, pada pandangan saya, hanya mengharapkan bahan bacaaan semata-mata adalah masih tidak mencukupi.

Dan yang paling penting adalah untuk mengamalkan ilmu yang kita miliki. Kerana pada zaman sekarang ini, bermacam-macam ilmu sudah dipelajari oleh orang-orang Muslim tetapi masalah mereka adalah untuk mengamalkannya. Disebabkan itulah, saya amat menekankan di dalam blog ini akan pentingnya untuk seorang Muslim terutamanya para pemuda untuk mengamalkan ilmu al-Quran dan as-Sunnah.

 

3. Cinta dan kasih kepada Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya.

Iaitu dengan taat kepada Allah dalam segala suruhan dan larangan-Nya. Yang bermaksud, kita hendaklah menjadi hamba yang terbaik kepada Allah S.W.T. dalam semua keadaan sama ada susah atau senang, sakit atau sihat dan muda atau pun tua. Dengan erti kata lain, sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah kerana cinta kepada-Nya.

 

4. Berzikir kepada Allah.

Kerana faedah berzikir tersangatlah banyak tertulis di dalam al-Quran. Jadi, kita haruslah banyakkan berzikir kepada Allah kerana dengan zikir hati akan jadi tenang. Sebagaiman firman Allah:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Ar-Ra’d 13: 28)

Dan satu lagi pesanan daripada Dr Abu Anas Madani adalah kita perlulah menghayati zikir tersebut. Bukan hanya menyebut kalimah Allah sahaja.

 

5. Berbuat baik kepada orang lain.

Iaitu dengan memperbanyakkan menolong orang lain sama ada diminta atau pun tidak. Sebagai contoh, jika anda ke masjid menaiki kereta lalu melihat orang berjalan kaki untuk menuju ke masjid, maka tumpangkanlah dia. Atau, jika ada orang fakir miskin yang perlukan kepada sumbangan anda, hulurkanlah petolongan dari segi kewangan mengikut kemampuan anda. Ingat, Allah Ta’ala tidak pernah memandang rendah terhadap segala kebajikan yang anda lakukan walau sekecil zarah sekalipun.

 

6. Kikiskan hati kita daripada penyakit berbahaya.

Iaitu penyakit hati seperti sakit hati, hasad dengki dan berdendam dengan orang lain. Hal ini kerana, penyakit ini tidak boleh diubati oleh mana-mana doktor pakar sekalipun. Hanya dengan menyingkirkan perasaan ini barulah anda dapat menghilangkan stress di dalam diri anda. Namun, mengamalkan amalan ini tidak mudah bagi seseorang. Tetapi, saya syorkan anda cuba dahulu dengan bersungguh-sungguh. Semoga Allah memberi kekuatan kepada anda.

 

7. Kurangkan bercakap benda-benda yang tidak berfaedah.

Seperti hal-hal yang berbentuk keduniaan seperti bola, gossip tentang artis dan sebagainya. Dan jika perkara-perkara tidak berfaedah pun perlu dihalang apatah lagi tentang perkara-perkara haram seperti mengumpat, mengadu domba dan fitnah-menfitnah. Mudah cerita, tinggalkanlah kesemuanya terus kerana tidak ada sebarang faedah pun.

 

8. Memaafkan orang lain.

Kerana fadhilatnya amat besar. Di antaranya adalah, anda akan dipercepatkan untuk masuk ke syurga Allah melalui pintu yang anda sukai. Disebabkan itu, sebelum kita tidur, kita amat digalakkan untuk memafkan segala kesalahan manusia yang pernah berbuat jahat kepada anda. Saya sering mengamalkan perkara ini sebelum saya tidur dan alhamdulillah, hati saya menjadi lebih tenang sebelum tidur. Kerana dendam yang bertampuk sekian lama di dalam hati telah dibuang dengan jayanya.

 

Sebagai rumusan, saya berharap agar saudara dan saudari dapat mengamalkan kesemua amalan penenang hati di atas ini. Tetapi, untuk lebih mudah mengamalkannya, Dr Abu Anas Madani telah mengkongsikan tiga info yang sangat berguna. Antaranya adalah:

  1. Asingkan diri daripada mengikut arus semasa. Kerana, orang-orang Muslim sekarang mudah sangat terpengaruh dengan peristiwa yang berlaku berhampiran mereka. Tidak kiralah sama ada baik atau buruk. Dan perkara ini amatlah membimbangkan. Jadi, asingkan diri anda dengan menghadirkan diri ke Masjid atau bangun berqiamullail. Itu adalah lebih baik untuk dilakukan.
  2. Gilap iman anda selalu. Kerana iman kita ada masa ia naik dan ada masa ia turun. Sebagai contoh, apabila tiba bulan Ramadhan sahaja. Tiba-tiba ramai orang-orang Islam yang turun ke Masjid untuk solat berjemaah. Tetapi selesai sahaja bulan Ramadhan, tiba-tiba juga mereka ini kembali menghilang. Kalau boleh, pastikan anda istiqomah di dalam amal ibadah anda. Jadilah hamba Allah bukannya hamba bulan Ramadhan Al-Karim.
  3. Sentiasa berasa cukup dengan rezeki Allah. Iaitu dengan melatih diri supaya sentiasa bersifat qana’ah. Dan qanaah bemaksud anda rela menerima dan sentiasa merasa cukup atas hasil yang diusahakannya serta menjauhkan diri dari dari rasa tidak puas dan perasaan kurang. Orang yang memiliki sifat qana’ah memiliki pendirian bahwa apa yang diperoleh atau yang ada didirinya adalah kehendak Allah .

Semoga hati kita semua akan tenang selepas mengamalkan 8 amalan penenang hati di atas. InsyaAllah. Wallahu a’lam.

 

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.