Abdurrahman Bin Auf R.A – Dermawan Yang Dijamin Syurga

Abdurrahman-Bin-Auf-Ra-Dermawan-dijamin-Syurga-Malaya-Journal

Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda selepasnya.

Sahabat Nabi SAW yang bernama Abdurrahman Bin Auf R.a ini bukanlah calang-calang orangnya. Bahkan beliau merupakan seorang yang sangat kaya dan dermawan. Beliau juga seorang yang sangat bijak berniaga mengikut syariat Islam. Senang cerita beliau merupakan seorang yang hebat berniaga tetapi solat berjemaah di masjid tidak pernah dilepaskannya.

Disebabkan itu, saya telah mendengar beberapa kuliah tentang Abdurrahman Bin Auf R.a ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana beliau memulakan perniagaan tanpa modal setelah berhijrah sehelai sepinggan kerana Allah dan Rasul. Tetapi dalam masa beberapa bulan sahaja, beliau sudah dapat menjadi golongan orang terkaya di Madinah. Sedangkan perniagaan dan perdagangan dikuasai oleh orang Yahudi pada ketika itu. Jom kita teladani kisah beliau dan lihat apakah yag telah dibuat oleh sahabat nabi ini, sehingga hidupnya dipenuhi keberkatan.



 

Pertama sekali, saya akan memulakan kisah salasilah Abdurrahman Bin Auf R.a. ini dengan latar belakang sahabat ini. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta:

Biodata Abdurrahman Bi Auf R.a.

Nama: Abdurrahman Bin Auf Bin Abdul Auf Bin Harith Bin Abdul Harith.

Tahun dilahirkan: 10 tahun selepas tahun gajah (muda sepuluh tahun dengan Baginda SAW).

Tahun meninggal dunia: Tahun 32 hijrah.

Gelaran: Abu Muhammad selepas masuk Islam. Sebelum masuk Islam beliau digelar Abdu Kaabah atau Abdu Amar.

Bangsa/Suku: Bani Quraish.

Selain itu, Abdurrahman Bin Auf R.a. juga merupakan seorang peniaga yang cerdas dan sangat kaya di Makkah. Tetapi, ketika berhijrah, penduduk Makkah tidak membenarkan sebarang hartanya pun di bawa ke Madinah. Tujuan orang Quraish Makkah melakukan demikian adalah untuk menakutkan-nakutkan orang-orang Islam yang ingin berhijrah ke Madinah.

Dengar erti kata lain, mereka ingin menyampaikan mesej, jika anda berhijrah ke Madinah, anda akan menjadi orang Islam yang miskin. Yang tinggal hanyalah sehelai sepinggang sahaja walaupun sebelum ini anda seorang jutawan di Makkah. Namun, Abdurrahman Bin Auf R.a. tidak berganjak langsung dengan mesej itu kerana taatnya pada perintah Allah SWT. Tetapi, sayangnya isteri dan anak-anak beliau dia tewas dengan mesej itu dan memilih untuk tinggal di Makkah.

 

Sifat yang dimiliki oleh Abdurrahman Bin Auf r.a.

Sifat utama beliau yang sangat menonjol adalah:

1.  Sifat Afaf: Iaitu sifat yang tidak mahu memberatkan orang lain atau kemuliaan jiwa dan tidak mudah untuk merendahkan dirinya untuk keperluan dunia.

2. Sifat Muru’ah: Yang bermaksud kemurniaan ibadah kepada Allah SWT. Kerana hubungan Saidinar Abdurrahman Bin Auf r.a. dengan Allah sangat luar biasa. Walaupun beliau sangat sibuk berniaga, solat malam, solat berjemaaah dan menyahut seruan perang tetap tidak dilepaskannya.



 

Kisah lagenda persaudaraan Abdurrahman Bin Auf r.a.

Menurut riwayat yang shahih, kisah persaudaraan Abdurrahman Bin Auf r.a. ini bermula apabila rombongan Rasulullah SAW telah sampai ke Madinah daripada Makkah. Penghijrahan ini telah disertai oleh Abdurrahman Bin Auf r.a. dan beliau telah dipersaudarakan dengan orang terkaya di Madinah iaitu, Saad Ibni Rabi r.a.

Dan Rasulullah SAW juga menyeru kepada saudara baru mereka iaitu orang-orang Ansar agar membantu saudara-saudara Muhajirin (orang yang berhijrah daripada Makkah) mereka. Sedikit sebanyak tentang sahabat Nabi bernama Saad Ibni Rabi r.a adalah, beliau merupakan orang terkaya di Madinah kerana memiliki perusahaan kebun-kebun kurma yang banyak dan beliau juga mengetahui bahawa Abdurrahman Bin Auf r.a. ini juga seorang yang sangat kaya di Makkah. Tetapi disebabkan penghijrahan ke Madinah, Abdurrahman Bin Auf R.a dengan rela hati meninggalkan segala hartanya kerana Allah dan Rasul. Akibatnya dia jatuh miskin sehelai sepinggang.

Disebabkan itu, Saad Ibni Rabi r.a menawarkan satu tawaran yang tidak masuk akal, iaitu beliau sanggup memberikan separuh kekayaannya kepada Abdurrahman Bin Auf r.a. sehingga mampu menyebabkan Abdurrahman Bin Auf R.a kembali menjadi kaya raya. Tawaran tersebut adalah Saad ibni Rabi R.a menawarkan untuk memberi separuh daripada kebun-kebun kurmanya di Madinah kepada Abdurrahman dan juga wanita untuk dikahwini.

Walau bagaimanapun, disebabkan Abdurrahman Bin Auf R.a memiliki sifat yang tidak suka menyusahkan orang lain, beliau menolak tawaran yang tidak disangka ini dengan  satau ucapan yang sangat baik. Iaitu, beliau hanya mengatakan “Semoga Allah memberkati hartamu dan keluargamu“. Dan seterusnya, beliau hanya bertanya “Tunjukkan saya dimana pasar di Madinah” kerana beliau mahu berniaga untuk mencari wang dengan sendirinya.

Tujuan Abdurrahman Bin Auf menolak adalah kerana beliau tidak suka untuk meminta dan menerima pemberian orang lain kerana beliau tahu yang memberi itu lebih baik daripada yang menerima. Inilah hasil tarbiyah Rasulullah SAW di Makkah. Berkat tarbiyyah Nabi SAW, Baginda telah melahirkan sahabat yang sangat rapat dengan Allah dan tidak pernah tunduk dengan dunia serta segala isinya. Beliau juga tidak suka bergantung kepada orang lain selain Allah SWT.

Ketahuilah para pembaca semua, tidak mudah sebenarnya apabila kita yang kaya raya ini memilih untuk menjadi miskin kerana Islam. Lebih-lebih lagi, apabila ditawarkan untuk menjadi kaya semua oleh saudara kita, kemudian kita menolaknya kerana tidak suka meminta-minta. Malah, menawarkan separuh harta kekayaan yang dimiliki untuk saudara yang baru dipersaudarakan juga bukanlah sembarangan orang boleh melakukan sedemekian rupa. Kedua-dua sahabat Nabi SAW di atas sangatlah hebat orangnya.

 

Sedekah membuka pintu rezeki Abdurrahman Bin Auf R.a

Seperti yang kita tahu, di antara sahabat Rasulullah SAW yang sangat kuat bersedekah adalah Abdurrahman Bin Auf r.a. Di antara kisah sedekah beliau adalah seperti di bawah:

1. Beliau sangat suka bersedekah sebaik sahaja menerima keuntungan daripada perniagaannya. Yang bermaksud, sebelum membelanjakan keuntungan perniagaan itu untuk dirinya dan keluarganya, beliau akan bersedekah terlebih dahulu. Inilah amalan yang membantu sahabat Nabi SAW mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

2. Pernah pada suatu malam, Abdurrahman Bin Auf r.a. tidak boleh tidur malam kerana baru sahaja menerima keuntungan lebih kurang 4000 dinar. Apabila ditegur isterinya untuk bertanya apakah yang Abdurrahman R.a hendak lakukan? Beliau menjawab, beliau mahu sedekahkan kesemua 4000 dinar ini kepada orang ramai. Dan pada malam itu juga kesemua keuntungan itu habis disedekahkan kepada orang ramai. Tetapi, keesokannya harinya dia menerima dua kali ganda keuntungan daripada hari sebelumnya ini. Dan setelah sedekahkan kesemuanya juga, beliau menerima tiga kali ganda keuntungan.

3. Pernah suatu ketika, kota Madinah bagaikan bergegar. Rupanya disebabkan 700 ekor unta yang sarat dengan muatan milik Saidinar Abdurrahman Bin auf r.a. baru sahaja masuk Madinah untuk disedekahkan ke jalan Allah.

4. Beliau juga suka membebaskan hamba pada setiap hari, memberi wang untuk dipinjam dan memberi makanan kepada orang ramai. Disebabkan banyaknya sedekah beliau, orang-orang Madinah mengatakan harta Abdurrahman Bin Auf R.a juga milik mereka, kerana setiap kali wang diminta pasti Beliau akan memberikannya.

5. Beliau juga pernah memberikan 400 dinar kepada setiap veteran yang menyertai perang Badar.

 

Adakah Abdurrahman Bin Auf R.a lebih kaya daripada Bill Gates?

 

Kisah dia atas adalah sedikit sebanyak kisah sedekah Abdurrahman Bin Auf R.a dan pintu sedekah serta amalan infaq inilah yang merupakan punca utama pintu rezeki orang-orang Muslim terbuka luas. Bukannya dengan menabung dan invest duit seperti yang diajarkan oleh para kapitalis, ejen-ejen insurans dan orang-orang barat. Kerana sifat menabung dan invest duit ini hanya menyebabkan anda menjadi kedekut dan bakhil.

Tetapi jangan salah faham, saya tidak katakan orang Islam tidak boleh menabung. Cuma pastikan anda sedekah lebih banyak daripada duit yang menabung. Kerana Allah dan Rasul sudah menjanjikan banyak sekali kelebihan bersedekah. Tetapi mengapa kita masih percaya amalan-amalan orang barat seperti investment sana sini? Invest rumahlah, invest company, invest saham sampai akhirnya investment akhirat pun terlupa.

Sebenarnya banyak lagi, yang hendak saya tulis tentang Abdurrahman r.a. ini tetapi saya akan bersambung pada episode sahabat yang akan datang jika berkelapangan. Kisah Abdurrahman Bin Auf R.a. ini adalah satu peringatan yang besar kepada saya dan anda semua. Beliau seorang yang sudah dijamin syurga, sahabat Nabi SAW dan pernah meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW. Tetapi derma dan infaq beliau kepada jalan Allah SWT tidak pernah berkurangan.

Sedangkan kita ini pula, syurga tidak pernah dijamin, amal ibadah pun masih berantakan tetapi malas hendak bersedekah. Jadi marilah kita sama-sama memperbanyakkan sedekah. Insya Allah kita dapat melakukannya.



Akhir kalam, Abdurrahman Bin Auf r.a. ini kaya kerana sedekah yang sangat banyak. Disebabkan banyaknya sedekah beliau, pintu kekayaannya dibuka luas oleh Allah SWT. Lagi besar, baik dan banyak sedekah anda, lagi berlipat ganda Allah akan gantikannya. Ingat, pangkal kaya adalah banyak bersedekah dan infaq bukan menabung! Dan jangan tunggu kaya untuk mula bersedekah. Mulakan dari sekarang.

Wallahua`lam.

Comments

comments

Related Post

Talhah bin Ubaidillah – Syahid Yang Berjalan... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Mus’ab Bin Umair – Pendakwah Terawal I... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Apakah Sambutan Maulidur Rasul Anda? ﷽ الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,...
Abu Ubaidah Al Jarrah – Orang Terpercaya Uma... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.