الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Saya suka membaca, saya suka menulis dan saya suka menuntut ilmu. Tetapi tujuan utama saya di sini adalah untuk membantu orang-orang Muslim yang menghadapi kesukaran di dalam kehidupan. Dengan menggunakan kelebihan menulis yang diberikan Allah S.W.T. saya akan mengongsikan segala ilmu yang dimiliki untuk membantu menyelesaikan masalah anda semua.

Tidak kiralah sama ada tua atau yang muda. Dan kesemua cara menyelesaikan masalah ini adalah berdasarkan apa yang diajar oleh para ilmuwan Islam kepada saya berteraskan ilmu al-Quran dan al-Hadith.

Di bawah pula adalah sedikit sebanyak tentang latar belakang bagaimana blog Malaya Journal ini ditubuhkan.

Latar Belakang  Malaya Journal:

Setelah selesai bergraduasi, seorang Muslim (penulis) mula berhenti belajar dan terus berkerja demi mencari sesuap rezeki dengan harapan hidup akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Sehingga pada suatu hari, dia terasa dirinya bagaikan terumbang-ambing di atas dunia ini tanpa hala tuju. Hidupnya bagaikan mayat hidup yang hanya mengikut arus semasa. Kerja, makan, tidur dan ulang ketiga-tiga perkara tersebut pada keesokan harinya.

Sampailah pada suatu hari, dia bertekad untuk kembali menuntut ilmu al-Quran dan as-Sunnah serta beramal dengannya. Kerana hanya itulah tujuan manusia dan jin diciptakan. Sebagaiman Firman Allah Ta’ala:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu

(Adz-Dzaariyat 51: 56).

Kini, selepas setahun menuntut ilmu dengan para ilmuan Islam di Malaysia. Contohnya seperti, Dr. Mohd Shafie, Dr Abu Anas Madani, Ustaz Aiman Mohd Shafie, Ustaz Kamal Mahadi, Ustaz Mohd Uda Kasim, Ustaz Fairuz Shah Badli dan Sheikh Zaini Ahmad dan ramai lagi. Penulis mula membuat pemerhatian ke atas para pemuda yang hidup sama sepertinya sebelum dia menuntut ilmu.

Dan kesimpulan yang dapat dibuat adalah masih ramai lagi diantara mereka yang terleka, lalai dan tidak mempelajari al-Quran dan as-Sunnah. Sebijik seperti perangai penulis sebelum dia menuntut ilmu. Dan ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana mereka inilah pewaris bangsa kita. Ini menyebabkan penulis berasa dirinya perlu menyedarkan para pemuda tersebut kerana kemungkinan mereka hanya memerlukan sedikit teguran dan nasihat untuk kembali. Bak kata orang-orang tua, belum cuba, belum tahu.

Justeru, blog Malaya Journal ditubuhkan untuk memberi panduan dan membantu menyelesaikan masalah kehidupan seorang Muslim supaya mereka kembali bersungguh-sungguh untuk taat kepada Allah S.W.T. dengan  mempelajari ilmu al-Quran.

Kesemua artikel di blog Malaya Journal ini adalah bertujuan untuk mengongsikan ilmu yang penulis fahamkan berdasarkan penerangan daripada para ilmuan Islam di Malaysia. Sebagai contoh, video kuliah subuh atau maghrib yang panjang sperti 40 sehingg 1 jam akan dibuat kesimpulan oleh penulis sendiri dalam bentuk penulisan. Dengan harapan, para pemuda Islam dapat mengambil isi-isi penting daripada kuliah tersebut dalam masa 5 hingga 15 minit sahaja. Segala penulisan yang ditulis hanyalah dalam bentuk isi-isi penting sahaja. Jadi, untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih lanjut perlulah menonton video itu sendiri atau menghadiri kuliah itu.

Kesimpulannya, bacaan penulisan penulis di sini adalah sebagai peringkat permulaan sahaja. Dan apabila sudah bersedia, mudah-mudahan para pemuda akan mula berjinak-jinak mempelajari ilmu agama Islam dan bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya. Namun, hidup di akhir zaman tidaklah semudah itu. Terutamanya untuk berdakwah. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu penulis tempuhi. Tetapi kesemua itu, tidak akan mematahkan semangat penulis kerana visi Malaya Journal untuk Taat kepada Allah Ta’ala bukannya untuk mematuhi syariat Allah semata-mata.