Apa Maksud Berdoa Kepada Allah yang Sebenarnya?

Maksud-Berdoa-Kepada-Allah-Yang-Sebenar-Malaya-Journal

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan tiada nabi lagi selepasnya, Pembawa Rahmat Keseluruh Alam.

Alhamdulillah, berjumpa lagi kita hari ini. Kali ini mari kita bincangkan tentang tajuk berdoa sekali lagi kerana saya baru sahaja mandapatkan ilmu baru tentang cara berdoa kepada Allah yang sebenar-benarnya. Dan saya rasa ilmu berdoa ini sangat penting untuk dikongsikan kerana masih ramai orang-orang Islam yang tersilap akan definisi berdoa yang sebenar.

Ilmu yang saya terima ini telah disampaikan oleh Ustaz Adi Hidayat dan Dr Shafie Mohd Amin. Berkat ilmu yang disampaikan oleh kedua-dua ustaz di atas, saya lebih bersemangat untuk share segala ilmu yang saya pelajari. Lebih-lebih lagi tentang berdoa kerana sebagai seorang hamba yang lemah, kita akan sentiasa berdoa meminta pertolongan kepada yang Maha Pemberi.



Jadi, mari kita sama-sama mengamalkan cara berdoa yang sebenar kepada Allah S.W.T. Pertama Sekali, sebelum bermula, saya akan kongsikan dahulu, dalil tentang cara berdoa tersebut di bawah.

Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku (Allah) maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka mematuhi perintah-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka memperoleh kebenaran.

(Al-Baqarah 2:186)

 

Berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T. telah berfirman untuk memberitahu bahawa Dia dengan hamba-Nya sangatlah dekat. Bahkan ada dalil yang lain mengatakan bahawa Allah S.W.T. lebih dekat lagi daripada urat leher kita. Seterusnya Allah Ta’ala menyambung firman-Nya dengan ayat di bawah:

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

…Aku (Allah) perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku…

Manakala berdasarkan ayat di atas ini pula, menurut Ustaz Adi Hidayat, ayat di atas ini merupakan di antara intipati doa. Iaitu apabila seseorang Mukmin itu berdoa kepada Allah S.W.T, segala doanya pasti akan dikabulkan oleh Allah. Cuma masa doa itu dikabulkan sahaja yang kita tidak tahu bila. Boleh jadi selepas beberapa minggu, bulan, tahun atau pun di akhirat nanti.

Jadi, kita tidak seharusnya gusar dan gelisah dengan pemberian Allah. Kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Sebagaimana Firman-Nya:

اِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيْعَادَ

Sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji.

Juga, Allah telah berfirman yang masa depan itu akan datang dengan sendirinya. Tidak perlu kita menunggu bilakah hari itu akan terjadi. Sebaliknya, fokuskan sahaja ibadah anda pada hari ini.

Firman Allah:

Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan..

(Al-Nahl 16:1)

 

Apakah Punca Doa kita Tidak dimakbulkan?

Tetapi persoalannya, mengapa masih banyak doa orang-orang Muslim yang tidak dimakbulkan walaupun mereka sudah berdoa? Dan jawapan kepada soalan ini telah dijawab juga oleh Allah dalam sambungan ayat di atas iaitu:

فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

…Maka hendaklah mereka mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka memperoleh kebenaran.

Berdasarkan ayat di atas, Dr Shafie Mohd Amin telah menerangkan kepada saya bahawa sambungan dalil di atas ini merupakan syarat dan cara berdoa yang sebenar. Iaitu dengan:

  1. Taat kepada perintah Allah.
  2. Beriman kepada Allah.

Tetapi malangnya, orang-orang Muslim sekarang hanya ingatkan cara doa yang betul hanyalah menadah tangan sambil meminta kepada Allah sedangkan dalil di atas tidak pun mengatakan sedemikian rupa. Lebih dahsyat lagi, penulis sendiri juga baru sahaja tersedar dan tersentap juga dibuatnya. Kerana selama ini cara doa kita sudah tersilap sama sekali.

Tentang cara berdoa yang kedua (beriman kepada Allah) saya rasa anda semua sudah mengetahuinya iaitu dengan mengucap dua kalimah syahadah.  Jadi saya tidak akan fokuskan pada point kedua ini. Sebaliknya saya terus fokuskan kepada cara berdoa pertama. Iaitu perkara yang sering ditinggalakan oleh orang-orang yang yang berdoa kepada Allah.

Disebabkan cara pertama adalah taat pada perintah Allah, persoalannya bagaimanakah caranya yang sebenar untuk taat kepada Allah? Jawapannya, sudah tentu kita perlu mempelajari dahulu segala perintah-perintah Allah S.W.T yang termaktub di dalam al-Quran. Dengan erti kata lain, step pertama untuk taat pada perintah Allah adalah dengan mempelajari al-Quran.

Namun, jika anda kekal terus degil untuk tidak mempelajari ilmu al-Quran, hidup anda akan susah untuk taat kepada perintah Allah kerana anda tidak faham pun mengapa perintah itu diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Akibatnya, hidup anda mudah bergelumang dengan dosa dan dosa inilah punca doa anda terhalang daripada dimakbulkan. Lebih teruk lagi, segala usaha berdoa anda kemungkinan akan menjadi sia-sia. Oleh itu, marilah kita sama-sama merajinkan diri untuk datang ke majlis-majlis ilmu untuk mempelajari ilmu al-Quran.



Bilakah kali terakhir Anda mempelajari al-Quran?

Jika semalam atau minggu lepas jawapan anda, Alhamdulillah. Tetapi jika bulan atau tahun lepas, jangan salahkan Allah S.W.T. sekiranya doa anda tidak dimakbulkan. Sebaliknya, salahkan diri anda kerana anda yang tidak taat kepada perintah Allah.

Akhir Kalam, cara berdoa dengan betul sudah dikongsikan, kini masanya untuk mempraktikannnya sahaja. Selamat beramal sahabat-sahabat sekalian.

Wallahua`lam.

Comments

comments

Related Post

Adab-Adab Berdoa kepada Allah Ta’ala Adab berdoa yang saya mahu kongsikan pada kali ini bukanlah seperti yang ada selalu baca atau dengar di kuliah agama atau pun di mana-mana bacaan onli...
Berdoa itu Senjata Orang Mukmin. ﷽ Segala Puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana, Pada pagi 9 Muharram 1439 selepas solat subuh berjemaah di masjid, tiba masanya waktu yang di...
Banyakkan berdoa kepada Allah di Akhir Malam ﷽ الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,...
9 syarat berdoa kepada Allah supaya cepat dimakbul... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk,Muhammad SAW (Rasul dan hamba-Nya), dan juga ke a...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.