Bagaimana Manusia Lalai Ditipu Iblis dan Syaitan

Perangi-Iblis-Dan-Syaitan-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Pada 16 Safar 1439 Hijrah yang lalu, kuliah maghrib di Masjid Jamek Ar-Rahimiah telah disampaikan oleh yang berbahagia Prof. Dr. Hasnan Kasan dan beliau telah mengajar kami tentang maksud tafsir yang tersirat pada ayat 61-65 Surah al-Isra’. Bagi saya, ayat-ayat ini ibarat pengistiharan perang kepada seluruh cucu-cicit Nabi Adam dan saya berasa agak sedih kerana baru sahaja mengetahui akan makna yang tersirat pada ayat-ayat ini. Tetapi itu tidak bermakna kita akan jahil selamanya. Saya ucapkan Alhamdulillah kerana Allah telah menggerakkan hati Prof Kasnan dan saya untuk bersama-sama mendalami ilmu pada ayat-ayat ini di masjid.

Pertama sekali, peperangan di antara iblis dan syaitan dengan anak-anak Adam telah bermula sejak Nabi Adam dilahirkan lagi. Iaitu, apabila Iblis ingkar arahan Allah S.W.T  untuk sujud kepada Adam A.S. Semuanya disebabkan iblis berasa angkuh, sombong dan takabbur kerana dia berasa dia lebih baik daripada Nabi Adam A.S. kerana dicipta daripada api sedangkan Nabi Adam A.S. dicipta daripada tanah. Padahal kesemua malaikat sujud kepada Nabi Adam A.S. tanpa sebarang alasan.

Sebagaimana Firman Allah:

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

(Al-A’raf 7: 12)

Dalil dibawah pula menunjukkan bukti bahawa iblis enggan sujud kepada Nabi Adam A.S. Allah berfirman::

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah kecuali iblis; ia (iblis) berkata: “Adakah aku perlu bersujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah ?”

(Al-Isra’ 17: 61)

Disebabkan kesombongan iblis yang enggan sujud itu, beliau telah berlaku biadap terhadap Allah S.W.T. dengan memberi berbagai alasan untuk tidak mahu sujud kepada Nabi Adam A.S. Walaupun, ilmu iblis sangatlah banyak tetapi adab dan akhlaknya sangat tidak bertepatan dengan ilmunya. Oleh itu, beliau telah meminta kepada Allah Azza Wa Jalla supaya diberi tempoh untuk menyesatkan cucu-cicit Adam A.S. dan hanya sedikit sahaja yang terlepas daripada kesesatan iblis laknatullah itu.

Firman Allah:

Ia (iblis) berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, apakah ini orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Sekiranya Engkau memberi kesempatan kepadaku sehingga hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan keturunannya, kecuali sedikit “.

(Al-Isra’ 17: 62)

Kemudian, Allah S.W.T. telah mengabulkan hajat iblis laknatullah itu.  Di antara dalil di dalam al-Quran yang membuktikan iblis memohon supaya diberi tempoh sehingga Hari Kiamat dan Allah memakbulkannya adalah seperti di bawah:

Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”. Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi penangguhan waktu”.

(Al-A’raf 7: 14-15)

Seterusnya, Allah berFirman untuk memberi amaran kepada segala pengikut iblis akan balasan neraka jahannam. Yang terdiri daripada manusia, jin atau pun syaitan.

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! tetapi barang siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup (sempurna).

(Al-Isra’ 17: 63)

Dan maksud “pergilah” di dalam ayat 63 ini , bermaksud sindiran daripada Allah kepada iblis laknatullah, bukannya arahan  daripada Allah S.W.T. untuk menyesatkan anak-anak Adam. Sesungguhnya Allah tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. Manakala, Qatadah mengatakan erti balasan yang cukup pada akhir ayat di atas bermaksud, “Pembalasan yang dicukupkan atas kamu, tanpa sedikit pun dikurangi.”

Selepas itu, Allah berfirman pada ayat 64 surah al-Isra’ untuk menerangkan secara praktikal bagaimana iblis, syaitan dan pasukannya yang menggoda dan menghasut anak-anak Adam A.S. 24 jam sehari semalam tanpa rehat supaya dapat melalaikan kita semua.

Firman-Nya:

Dan perdayakanlah sesiapa yang engkau (iblis) dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah pasukanmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut – campurlah dengan mereka pada harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)”. Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.

(Al-Isra’ 17: 64)

Untuk menjelaskan ayat 64 di atas,saya akan terangkan mengikut perkataan-perkataan di atas:

1.  Apakah suara iblis?

Menurut ulama’ tafsir seperti yang diberitahu oleh Prof Kasnan, suara iblis terbahagi kepada dua:

  • Suara penyanyi yang melalaikan.
  • Bunyi alat-alat muzik yang melalaikan.

2. Siapakah pasukan-pasukan iblis?

Semua orang yang buat manusia lalai pada zikir, al-Quran dan selawat ke atas nabi. Contohnya:

  • Pengacara tv yang pakai pakaian yang seksi-seksi.
  • Pembuat filem yang membuat cerita yang melalaikan seperti kPop, Bollywood dan Hollywood.
  • Penganjur program yang melalaikan seperti konsert-konsert artis barat.
  • Pelawak-pelawak yang membuat lawak sehingga orang leka dan gelak terbahak-bahak.

Dan disebabkan mereka inilah orang-orang Islam banyak yang lalai. Akibatnya:

  • Orang-orang Islam sanggup pergi menonton bola sepak di stadium walaupun terpaksa bermusafir. Padahal masjid yang tidak sampai 1km daripada rumahnya, tidak pernah terfikir untuk solat berjemaah.
  • Orang-orang Islam yang membaca kebanyakan surat khabar seperti Kosmo, Metro, NST, Malaysia Kini tetapi al-Quran tidak pernah terasa untuk  dibaca. Nauzubillah.

3. Kongsi harta dengan iblis  pula, bermaksud:

Menurut ulama’ tafsir, kongsi harta ini terbahagi kepada dua:

  • Mereka yang mempunyai banyak harta tetapi masih mencari harta walaupun dari sumber yang haram.
  • Mereka yang menghabiskan harta pada hal-hal kemaksiatan seperti melancong sana sini, shopping sana sini atau pun berkareoke sana sini. Tetapi kalau bab menderma kepada fakir miskin, sangatlah kedekut dan bakhil sekali mereka ini.

4. Kongsi pada anak-anak pula bermaksud:

  • Ibubapa tidak mengajar anak-anak supaya patuh pada suruhan Allah Ta’ala.
  • Ibubapa tidak melarang anak-anak yang melanggar larangan Allah Ta’ala.
  • Ibubapa yang berjimak kerana nafsu seks dan bukannya untuk melahirkan zuriat yang soleh atau solehah. Jika ditakdirkan dapat anak, maka anak mereka itu akan menjadi masalah kepada mereka.
  • Al-‘Aufi berkata daripada  Ibnu Abbas r.a., Mujahid dan adh-Dhahhak, maksud kongsi anak-anak itu adalah anak-anak hasil perzinaan.

5. Janji Syaitan dan Iblis akan menjadi penasihat kepada kita.

Nasihat di sini hanyalah bermaksud tipu daya semata-mata. Disebabkan itu, isteri mula melawan suami, suami mula mumukul isteri, anak-anak tidak beradap dengan ibubapa, wanita-wanita zaman moden mula menuntut hak persamaan dengan kaum lelaki dan macam-macam lagi. Dengan tujuan untuk menuntu keadilan padahal mereka ini hanyalah tertipu dengan bisikan syaitan. Ingatlah, kesemua bisikan ini hanyalah tipu daya musuh kita untuk memecah belahkan umat Islam sahaja.

Malah, syaitan dan iblis sudah mula memberi nasihat (tipu daya) kepada manusia sejak pada Nabi Adam A.S. lagi.

Sebagaimana Firman Allah:

… Sambil ia (syaitan) berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)”.

(Al-A’raf 7: 20)

Jadi, janganlah kita mendengar dan layan segala bisikan yang terkutuk ini. Segala nasihat mereka hanyalah membinasakan diri kita sahaja dan akan membawa kita ke neraka.

Bagaimanakah Cara Untuk Menyelamatkan Diri?

Disebabkan Allah itu, Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Allah telah berfirman pada ayat seterusnya di bawah untuk memastikan kita tergolong dalam golongan yang sedikit seperti yang diterangkan dalam ayat 61 di atas. Firman Allah:

Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).

(Al-Isra’ 17: 65)

Dan ayat ini merupakan pemberitahuan dari Allah S.W.T, bahawa Dia membela dan menjaga hamba-hamba-Nya yang beriman dari iblis laknatullah dan syaitan yang terkutuk. Kerana itu, ayat ini diakhiri dengan cukuplah Allah sebagai pelindung.

Pada ayat ini pula, Prof Kasnan telah mengajar kami iaitu cara untuk menyelamatkan diri daripada godaan syaitan dan iblis hanyalah dengan menjadi hamba kepada Allah Azza Wa Jalla dengan ikhlas. Iaitu dengan taat segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya. Semoga anda semua dan saya tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang ikhlas dan taat selalu. Dengan itu, Insya Allah, kita akan sentiasa dilindungi-Nya. Aamin.

Serta, jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah Ta’ala dengan doa di bawah:

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Allahumma a’inni ‘ala dhikrika wa shukrika wa husni ‘ibadatik

Ertinya: ” Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar selalu beribadah dengan baik kepada-Mu”

 

Kesimpulannya.

Marilah kita sama-sama sentiasa mentaddbur al-Quran dan mengamalkannnya. Bukan hanya sekadar baca siang malam tanpa faham satu huruf pun. Termasuklah kepada penulis yang dhaif ini. Ilmu dikepala ini masih terlampau sedikit jika hendak dibandingkan dengan umur yang banyak ini.

Dan, alhamdulillah setelah mula memahami ayat-ayat al-Quran, saya sudah mula beramal dengannya. Insya Allah ia juga tidak mustahil bagi anda semua untuk turut melakukannya. Selain itu, jika anda hendak mempelajari ayat-ayat al-Quran, pastikan anda mempelajarinya dengan para alim ulama yang faham akan apa yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya.

Wallahu’alam.

Comments

comments

Related Post

8 Lorong Syaitan Yang perlu Dijauihi Kita sebagai seorang mukmin wajiblah memusuhi syaitan dan iblis, sebagaimana Firman Allah: "Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikan...
Elakkan Menjadi Hamba Kepada Hawa Nafsu Anda ﷽ Assalamualaikum semua, Tajuk pada kali tentang hawa nafsu pula. Iaitu antara punca utama kita semua terjebak dan banyak kali kecundang melakukan...
Jangan Takut Syaitan dan Hanya Takut Kepada Allah ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.