Bahaya, hukum,tanda dan cara membenteng diri daripada Sihir

Bahaya-Sihir-dan-cara-membenteng-diri-daripada-penyihir-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Ahli sihir, bomoh atau pengamal ilmu hitam sudah tidak asing lagi dan sering kali kita dengar. Walaupun dunia semakin maju, namun khidmat mereka masih lagi dicari-cari oleh orang-orang beriman yang jahil ilmu agama. Justeru, sebagai seorang penuntut ilmu yang kerdil, saya  sangat mengambil berat akan hal ini kerana menggunakan khidmat bomoh ini merupakan perbuatan yang boleh membawa kepada kafir dan syirik sekaligus penyebab mereka akan di azab di dalam neraka.

Untuk mencegah perkara syirik ini daripada berlanjutan, caranya hanyalah dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya. Jadi, saya akan menerangkan semudah mungkin kepada anda semua tentang bahayanya ilmu hitam ini, hukum menggunakan ilmu hitam, cara untuk mengenal pelaku sihir dan cara untuk membenteng diri daripada sihir. Semoga dengan rumusan kuliah yang ditulis ini, anda semua akan mendapat melihat “the big picture” akan bahaya perbuatan syirik ini. Sesungguhnya sihir adalah suatu yang tidak ada manfaat langsung.

 

Apakah Maksud Sihir?

Terdapat banyak sekali maksud sihir sebenarnya. Antaranya adalah:

  1. Suatu benda yang tersembunyi sebab-sebabnya. Yang bermakna, setiap perkara yang tidak tahu sebab atau punca berlakunya perkara tersebut.
  2. Sihir itu simpulan yang dibuat pada tali, jampi serapah serta bacaan, tulisan dan ucapan yang tidak dapat difahami.
  3. Perbuatan itu memberi kesan kepada orang yang disihir.
  4. Mendekatkan diri pengguna dan pengamal sihir kepada syaitan dan menyakiti orang yang disihir.

 

Sejarah Sihir?

Sihir sini telah diturunkan sejak beribu-ribu tahun lagi dan diajar oleh Malaikut Harut dan Marut. Malah, Nabi Musa pun pernah berlawan dengan ahli sihir Firaun laknatullah semasa berdakwah kepada kaum bani Israel.

Sebagaimana firman Allah:

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)“. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

(Al-Baqarah 2: 102)

Dan berdasarkan ayat di atas, segala pelaku sihir adalah kafir kerana telah berpakat dengan syaitan.

 

Antara Kesan/Bahaya Kesan Sihir kepada orang ramai?

  1. Suami dan isteri menjadi benci sesama sendiri.
  2. Suami menjadi patuh dan terlalu sayang kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.
  3. Menyebabkan penceraian suami isteri.
  4. Orang yang disihir jatuh sakit tanpa sebab yang munasabah.

 

Hukuman Terhadap Penyihir?

Hukumannya adalah bunuh atau pancung kepala mengikut Islam. Dan hukuman ini telah dilakukan sejak zaman Saidinar Umar Al-Khattab lagi. Dan menurut alim ulama, hukuman bunuh atau pancung kepala ini adalah disebabkan para penyihir telah murtad dari agama Islam. Dan hukum murtad dalam agama islam adalah hukum bunuh dengan pancung kepala. Tetapi masalah utamanya adalah, sangat sukar untuk mencari bukti seorang itu melakukan sihir terhadap orang lain dan hukuman ini hanya dilakukan jika negara tersebut mengamalkan hukum hudud.

 

Hukum terhadap mereka yang menggunakan bomoh?

Hukumnya adalah sama seperti yang anda semua tahu iaitu jatuh syirik dan kafir. Kerana apabila seseorang itu melakukan sihir terhadap orang lain, ia diibaratkan seperti mengubah takdir Allah S.W.T. Dan hukum menggunakan khidmat tukang bomoh ini adalah lebih besar dan dahsyat lagi daripada melakukan dosa besar. Kerana dosa besar boleh diampunkan Allah tetapi syirik tidak diampunkan Allah S.W.T. Jadi, jangan sesekali terfikir untuk menggunakan khidmat bomoh atau pawang ini.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda:

“Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk(zina).”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara Jenis-jenis Sihir.

  1. Al-Kahim: Orang yang mendakwa boleh meramal masa depan. Contohnya seperti tukang tilik.
  2. A’raf: Orang yang boleh tahu masa sekarang. Sebagai contoh, bomoh boleh mengetahui masalah tentang orang yang datang kepada mereka sebelum mereka menceritakan apa-apa pun.
  3. Sahir: Para penyihir, bomoh atau pawang dan lain-lain.

Semuanya boleh menyebabkan kafir kerana masa depan dan takdir adalah suatu yang ghaib dan hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Yang bermaksud, apa yang mereka katakan akan masa hadapan yang akan berlaku itu hanyalah tekaan dan rekaan semata-mata.

 

Bagaimanakah Ahli Sihir memanggil syaitan?

Sebelum memanggil syaitan, ahli sihir tersebut mestilah kafir terlebih dahulu dan sudah membuat pakatan dengan syaitan yang terkutuk.

Di antara cara-caranya mereka menyeru syaitan adalah dengan melakukan perkara-perkara yang dilaknat Allah dan Rasulullah S.A.W. Lagi banyak mereka buat perkara yang dikeji, lagilah mereka akan disukai syaitan dan sebagai balasan, syaitan akan membantu mereka. Antara caranya adalah:

  1.  Masuk dalam bilik gelap, pasang api dan letak kemenyan.
  2. Sembelih bukan kerana Allah. Haram hukumnya.
  3. Menggunakan al-Quran untuk diletakkan di dalam tandas untuk dijadikan tempat pijak kaki semasa berhadas.
  4. Menggunakan darah hadi untuk menulis ayat al-Quran yang mulia atau menulis ayat al-Quran secara terbalik.

Kesemuanya caranya adalah sangat menjijikkan dan sangat ditegah Allah dan Rasul tetapi kesemua perkara inilah yang sangat disukai syaitan. Mereka akan mendapat balasan yang sangat pedih di akhirat nanti.

 

Apakah Tanda untuk Mengenal Ahli Sihir?

  1. Dia akan tanya apa nama anda dan nama ibu kamu. Dia tidak bertanyakan nama ayah kamu.
  2. Dia akan minta kesan-kesan daripada orang sakit seperti kain yang tidak dibasuh atau sapu tangan. Jadi jangan sesekali bagi sapu tangan yang telah anda gunakan kepada orang. Sebagai langkah berjaga-jaga. Bagi tisu je senang.
  3. Dia akan minta haiwan tertentu untuk dikorbankan atau disembelih bukan kerana Allah.
  4. Dia akan tulis tulisan yang tidak difahami orang lain kecuali dia.
  5. Dia membaca jampi yang tidak difahami orang.
  6. Dia akan beri kepada orang sakit itu hijab (saya kurang pasti akan point ini).
  7. Bomoh itu akan memberi arahan kepada orang sakit itu supaya asingkan diri dalam bilik yang tidak dimasuki matahari. Bilik gelap
  8. Bomoh itu juga itu akan meminta orang itu jangan menyentuh air selama 40 hari yang bermaksud orang tersebut tidak boleh mengambil wuduk. Dan jika tidak berwuduk sudah tentu dia tidak boleh bersolat.
  9. Dia akan memberi sesuatu untuk ditanam di sesuatu tempat.
  10. Dia memberi kertas untuk balik dibakar dan disedut asapnya.
  11. Dia akan bercakap dalam bahasa yang tidak difahami. Bermakna dia sedang berhubung dengan jin atau syaitan.
  12. Dia boleh tahu masalah atau sakit yang sedang kita hadapi sebelum kita berkata apa-apa. Bermakna jin atau syaitan telah memberitahu kepadanya terlebih dahulu.
  13.  Dia tulis huruf yang tidak bersambung. Kemudian diletakkan air di atasnya untuk diminum.

Jika anda tersedar akan perkara-perkara ini, jauhkanlah diri anda daripada mereka ini sejauh mungkin. Kerana mereka ini orang-orang yang syirik kepada Allah. Tidak ada manfaat yang ada akan dapat daripada mereka melainkan kebinasaan.

 

Apakah Amalan membenteng diri daripada Ahli Sihir ini?

  1. Makan tujuh biji tamar ajuah (tamar nabi) setiap pagi. Hanya boleh didapati di Madinah.
  2. Sentiasa berwuduk.
  3. Menjaga solat berjemaah di Masjid.
  4. Menjaga atau melakukan qiamullail.
  5. Membaca doa masuk tandas semasa ke tandas.
  6. Membaca istiazah ketika solat selepas membaca doa iftitah.
  7. Membaca doa kepada isteri semasa bertemu malam pertama.
  8. Memulakan hidup suami isteri dengan solat.
  9. Membaca doa agar diselamatkan kita daripada syaitan sebelum berjimak.
  10. Mengambil wuduk sebelum tidur dan membaca ayat kursi.
  11. Membaca 10 ayat pada surah al-Baqarah selepas maghrib iaitu 5 ayat pertama, ayatul kursi dan dua ayat selepasnya serta tiga ayat terakhir surah al-Baqarah.
  12. Membaca 100 kali selepas subuh bacaan di bawah:

    لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كل شيء قدير

  13. Membaca doa sebelum dan selepas masuk masjid.
  14. Membaca bacaan di bawah sebanyak 3 kali pagi dan petang:

    بِسْمِ اللهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْئٌ فِى الاَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّميْعُ العَلِيْمِ

  15. Membaca bacaan di bawah sebelum keluar rumah.

    بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Dan macam-macam lagi amalan. Tapi saya rasa cukuplah sekadar 15 amalan ini. Nasihat saya amalkan amalan di atas mengikut kemampuan anda.  Bagi yang sudah berkahwin, saya syorkan anda amalkan amalan no 2 hingga no 15 bersama-sama pasangan anda. Bagi yang belum berkahwin pula, amalkan 2 hingga 6 dan 10 hingga 15. Insya Allah, semoga anda semua selamat daripada di sihir oleh para pendengki.

 

Kesimpulannya.

Benteng diri kita setiap hari kerana kita tidak tahu siapa yang dengki kepada kita. Hanya dengan kekuasaan Allah, insya Allah kita akan dilindungi. Akhir kalam, jangan sesekali anda semua dan diri saya pernah terfikir untuk mendekatkan diri kepada amalan syirik ini kerana tidak ada manfaaat langsung kepada penyihir, yang meminta menyihir dan orang yang disihir. Kesemuaanya akan binasa dan di azab kecuali yang disihir. Amaran keras kepada anda semua dengan tulus ikhlas daripada saya. Selamat beramal.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

  1. Dosa Besar (03); SIHIR, Bahaya Sihir, Jenis-jenisnya & cara mengawal diri dari terkena sihir – Dr. Abdul Basit.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.