Jauhi Panjang Angan-Angan

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Hari ini saya mahu menulis tentang panjangnya angan-angan seorang muslim. Kerana saya sendiri selalu sangat berangan-angan sehingga terlalai daripada mengingati Allah. Namun, selepas terbaca kitab karangan Imam Al-Ghazali yang bertajuk Mukahshafah Al-Qulub, penangan angan-angan sangatlah merbahaya bagi seorang muslim.

Tambahan pula, jikalau hanya dengan angan-angan kita dapat memasuki syurga Allah, sudah pasti kesemuanya orang Muslim akan memasuki syurga dengan mudah. Namun, ia tidaklah semudah itu. Kerana ujian dan rintangan perlu di atasi sebelum memasuki syurga Allah.

Firman Allah:

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

(An-Nisa’ 4: 123)

Malah, Rasulullah S.A.W. juga bersabda untuk mengingatkan kaumnya bahawa:

Dua hal yang aku paling cemaskan atas engkau; panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Sesungguhnya panjang angan-angan itu dapat melupakan Akhirat, sedang mengikuti hawa nafsu dapat menjauhkan diri dari kebenaran...”

Berdasarkan Firman Allah dan sabda  Rasulullah S.A.W. di atas, ini membuktikan kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk meninggalkan amalan berangan-anagan akan masa depan yang belum tentu terjadi. Abu Darda’ juga r.a. juga pernah berkata kepada seorang pemilik keldai seraya berkata, “Tidakkah engkau malu membangun apa yang tidak engkau mampu, memikirkan apa yang tidak engkau temukan serta mengumpulkan apa yang tidak engkau makan? Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah gigih membangun, mengumpulkan banyak harta dan memikirkan jauh-jauh, tapi akhirnya tempat mereka adalah kubur, angan-angan mereka adalah tipuan belaka dan yang dikumpulkan binasa.

 

Masa Depan akan datang dengan sendirinya bukan dengan angan-angan.

Buktinya Allah Subahanahu wa Ta’ala telah ber-Firman di dalam surah An-Nahl, ayat 1:

Sesuatu yang ditetapkan Allah pasti akan datang, maka janganlah kamu minta disegerakan….

Oleh kerana itu, janganlah kita mendahului sesuatu sebelum ia terjadi! Adakah anda mahu memetik buah sebelum masak atau mengeluarkan bayi dari perut sebelum waktu lahirnya? Sudah tentu tidak, kerana mengambil sesuatu seperti itu tidak ada manfaatnya. Kerana buah belum masak masih belum boleh dimakan dan mengeluarkan bayi sebelum waktunya lahir adalah sangat merbahayakan nyawa bayi tersebut.

Ingatlah wahai saudara dan saudariku, hari esok adalah sesuatu yang belum nyata. Kerana hari esok adalah sesuatu yang ghaib. Lalu mengapa kita terlalu asyik berangan-angan menyibukkan diri dengan hari esok atau masa akan datang. Sepatutnya kita harus fokus kepada hari ini dengan bekerja bersungguh-sungguh dan bersyukur dengan apa yang kita miliki.

Sebagaimana Firman Allah:

Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.

(Al-A’raf 7: 144)

Malah, menurut Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya yang bertajuk Jangan Bersedih, memberi kesempatan kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka alam ghaib, dan kemudian terhanyut dalam kecemasan-kecemasan yang baru diduga darinya, adalah sesuatu yang tidak dibenarkan di dalam syariat Islam. Kerana, hal itu termasuk thulul amal (angan-angan yang terlalu jauh).

Namun kebanyakan manusia khususnya orang-orang Islam di dunia ini banyak yang tertipu, terpedaya dan termakan oleh ramalan-ramalan tentang kelaparan, kemiskinan, wabak penyakit dan krisis ekonomi yang khabarnya akan menimpa mereka.

Disebabkan ini, kebanyakan mereka selalu bersedih menatap masa depan yang kelam. Mereka menyangka mereka akan hidup kelaparan, menderita sakit selama setahun dan memperkirakan umur dunia ini tinggal seratus tahun lagi. Padahal orang yang bijak dan sedar bahawa usia hidupnya berada di gengaman Allah Ta’ala tentu tidak akan menggadaikan untuk sesuatu yang belum pasti datang (hari esok atau hari kemudiannya).

 

Apa yang perlu kita lakukan?

Saya meminjam beberapa cara pencegahan daripada Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya yang bertajuk Jangan Bersedih:

1. Berpeganglah kepada prinsip “masa hidupku hanyalah pada hari ini”.

Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda. Caranya adalah dengan menyibukkan diri anda bekerja mencari keredhaan Allah kerana hari ini mungkin hari terakhir anda di dunia ini.

2. Katakan “hari ini milik anda”.

Dan ungkapan ini adalah ungkapan yang paling indah dalam “kamus kebahagiaan”, kamus bagi mereka yang menginginkan kehidupan yang paling indah dan menyenangkan. Selagi anda bekerja, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. InsyaAllah hidup anda akan lebih tenang dan bahagia walaupun anda tidak mempunyai harta yang banyak. Kerana bahagia terletak pada kekuasaan Allah bukan pada harta,keturunan dan sebagainya.

 

Renungan.

Biarkan hari esok itu datang dengan sendirinya; janganlah anda menanyakan khabar beritanya, dan jangan pula anda menunggu waktu itu. Sebab, hari ini anda sudah sangat sibuk.

Jika anda hairan, maka lebih menghairankan lagi orang-orang yang berani menebus kesedihan suatu masa yang belum tentu matahari terbit di dalamnya dengan bersedih pada hari ini. Masa mereka dibuang begitu sahaja disebabkan kesedihannya. Oleh kerana itu, hindarilah panjangnya angan-angan.

Comments

comments

Related Post

Rahsia Menggapai Cita-Cita di Dunia dan Akhirat ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Apa Beza Angan-Angan Kosong dengan Cita-Cita? ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.