Bahaya Riba Dalam Islam dan Kesan Buruknya

Hikmah-Pengharaman-Riba-Dalam-Islam-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Kali ini saya mahu menerangkan sedikit sebanyak tentang riba dalam Islam yang berlaku terutamanya di dalam dunia kewangan tanpa dikawal walaupun dalil pengharaman riba’ sangatlah jelas di dalam al-Quran dan al-Hadith. Jadi, saya menggunakan blog ini untuk menyedarkan anda semua akan bahaya riba’ supaya dapat menghidupkan kembali syiar Islam sedaya upaya saya. Insya Allah.

 

Apakah Makna riba?

Makna riba dari segi bahasa adalah pertambahan atau kesuburan. Manakala, dari segi istilah pula ialah tidak ada pertukaran harta dengan harta yang adil. Yang bermaksud ia naik begitu sahaja tanpa berusaha apa-apa pun. Dan riba merupakan antara salah satu amalan jahiliah yang ditentang keras oleh Allah Ta’ala dan Rasulullah S.A.W.

 

Apakah Hukum Riba Dalam Islam?

Hukum riba menurut Islam adalah haram dan dalil pengharaman tentangnya ada banyak tertulis di dalam al-Quran dan hadith. Dalilnya akan diterangkan seperti di bawah.

 

Dalil Pengharaman Riba Dalam Islam?

1.  Haram yang jelas tanpa perlu ditaddabbur untuk memahami ayat-Nya.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(al-Baqarah 2: 278-279)

2. Penghuni neraka kepada pemakan riba

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 (al-Baqarah 2: 275)

3. Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu:

“Rasulullah melaknat pemakan riba, orang yang memberi makan dengan riba, juru tulis transaksi riba, dua orang saksinya, semuanya sama saja.”

(HR.Bukhari fathul bari/V:4/H:394/bab:24)

4. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari hadits Abu Hurairah bahwa Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda:

“Hindarilah tujuh hal yang membinasakan.” Ada yang bertanya: “Apakah tujuh hal itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa dengan cara yang haram, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh berzina wanita suci yang sudah menikah kerana kelengahan mereka.”

Bahagian Riba Dalam Islam?

1. Riba Fadhl : Iaitu riba lebihan yang tidak sama timbangan atau bilangan dalam jual beli.

2. Riba An-Nasi-ah : Riba yang disebabkan oleh kelewatan atau bayaran bertangguh. Contohnya, disebabkan anda lambat bayar hutang, tiba-tiba sahaja ia naik beberapa peratus dan secara automatik ia ditambah kepada nilai pokok yang anda harus bayar. Pertambahan seperti ini selalu dikenakan ke atas orang yang berhutang dengan bank-bank yang tidak mematuhi syariat Islam. Juga, ia merupakan amalan yang keji kerana menindas orang yang memerlukan hutang. Amalan ini selalu dilakukan oleh orang-orang jahiliah dan riba jenis ini adalah yang paling selalu digunakan pakai oleh orang ramai. Termasuklah  juga orang-orang yang beragama Islam. Nauzubillah.

 

Apakah Kesan Buruk Riba Dalam Islam?

1. Diperangi Allah dan Rasul.

Iaitu kesan buruk yang paling besar. Dan kesan buruk ini tidak mengira sama ada anda seorang Muslim atau tidak. Jika anda seorang pemakan riba, anda akan diibaratkan seperti membuka medan peperangan untuk berhadapan dengan Allah dan Rasul di mana anda tidak akan mampu untuk memenanginya. Juga, anda akan sentiasa berada di dalam murka Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.

2. Membawa bencana yang mengancam ummah.

Kerana beberapa perkara seperti di bawah akan berlaku jika tempat tersebut mengamalkan riba:

  • Seorang pengamal riba akan suka mengambil kesempatan terutamanya kepada orang-orang yang terdesak dan amat memerlukan hutang.
  • Orang yang berhutang akan ditimpa kegelisahan, tekanan jiwa dan kemurungan disebabkan riba yang menimpanya.
  • Masyarakat yang dikuasai sistem riba akan hilang nilai kemesraan kerana mereka akan menjadi seorang yang tamak haloba.
  • Amalan riba merupakan eksploitasi orang kaya terhadap orang yang memerlukan hutang. Disebabkan ini, orang-orang kaya akan bertambah kaya tanpa perlu berusaha manakala orang yang sederhana atau miskin akan bertambah miskin.

3. Harta kekayaan akan berkelompok pada sekelompok manusia sahaja.

Hal ini kerana, harta pemberi riba tidak akan berkurang kerana mereka beroleh kekayaan melalui sistem riba dan mempergunakan untuk kepentingan diri sahaja. Disebabkan itu, hanya pemakan riba yang akan mengaut keuntungan degan cara mudah tanpa rugi apa-apa pun.

4. Produktiviti akan jadi lemah.

Hal ini disebabkan, keuntungan dengan cara riba tidak perlu mendedahkan harta kepada kerugian seperti melalui sektor industri atau pun perniagaan. Mereka hanya goyang kaki dan tunggu akhir bulan untuk menerima keuntungan mereka.

5. Punca kenaikan barang.

Pemilik kilang terpaksa menaikkan harga barang,lebih-lebih lagi apabila dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil untuk menampung riba yang tidak pernah berhenti. Dan orang-orang putih memanggil perkara ini sebagai inflasi.

6. Punca kejatuhan banyak syarikat dan kilang-kilang  besar.

Iaitu dimana syarikat yang ditubuhkan atas dasar hutang akan mudah sekali menutup kilang apabila mula mengalami kerugian. Kerana setiap kali mereka lambar bayar, interest akan naik melambung tinggi. Apabila kilang tidak mampu untuk membayarnya,bank akan mengambil alih melalui proses menyita kilang tersebut lalu dilelongnya.

7. Punca kehancuran banyak negara dan wujudnya jurang pemisah yang besar.

Terutamanya kepada negara yang masih membangun atau dipanggil negara yang berhutang demi untuk memajukan ekonomi negara mereka. Disebabkan mereka berhutang melalui sistem riba, mereka tidak akan mampu mebayar hutang-hutang mereka tersebut. Kerana mereka perlu membahagikan keuntungan kepada dua iaitu membayar hutang yang semakin bertambah dan rakyat yang memerlukan.

Akibatnya, apabila tidak dapat menampung riba itu, nilai mata wang sesebuah negara akan jatuh mendadak. Tetapi untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku, pemimpin negara akan mengenakan cukai yang banyak dan tinggi. Akhirnya, rakyat juga yang akan merana.

 

Apakah ciri-ciri pemberi riba?

  1. Hati kejam seperti batu.
  2. Mereka diibaratkan seperti penghisap darah yang tidak pernah kenyang.
  3. Mereka juga tiada belas kasihan terhadap golongan yang memerlukan.

 

Apakah contoh Riba yang berlaku pada zaman moden?

1. Riba dalam perbankan konvensional.

Ditujukan kepada bank-bank yang tidak patut Syariah. Oleh itu, disebabkan haram hukumnya memakan riba atau menerima riba, maka wajiblah kita menggunakan bank-bank yang hanya mematuhi syariah seperti Bank Islam atau bank yang ada ciri-ciri islamic seperti Maybank Islamic dan Cimb Islamic.

2. Riba bab kad kredit.

Iaitu kad yang menjadi kegilaan ramai orang dan di antara punca utama mereka muflis dalam usia yang muda. Hali ini kerana mereka terpengaruh dengan slogan orang putih “buy now, pay later” yang sangat memggiurkan. Untuk menggelakkan anda daripada terkena riba kad kredit ini, elakkanlah guna kad kredit dan gunalah kad debit. Kerana berhutang di dalam Islam hanya apabila terdesak bukan untuk suka-suka.

3. Riba insurans konvensional.

Tidak kiralah sama ada insurans kereta, nyawa dan sebagainya. Jika ia insurans konvensional, maka hukumnya haram di sisi Islam dan hal ini telah dipersetujui di seluruh Malaysia. Tetapi ini tidak bermakna ada tidak boleh membeli insurans kerana insurans hukumnya diharuskan.

Syaratnya adalah sistem insurans tersebut mestilah mempunyai panel-panel syariah yang bertanggungjawab. Dan di antara sistem insurans yang mempunyai panel syariah adalah sistem takaful. Walaupun, tidak 100% free daripada riba, mereka masih berusaha untuk membersihkan daripada sistem riba.

4. Riba dalam jual beli perhiasan seperti emas dan perak.

Menurut imam 4 mazhab, hukum membeli emas dengan bayaran ansuran adalah haram kerana bertangguh. Namun, ulama mutakkhirin mengeluarkan fatwa hukumnya menjadi harus kerana jual beli emas ini merupakan maksiat yang kurang mudharatnya dan banyak sekali berlaku. Fatwa ini dikeluarkan untuk mengelakkan umat Islam berdosa pada setiap kali membeli emas dengan bayaran ansuran. Antara ulama yang menyokong fatwa baru ini termasuklah Dr. Yusuf Al-Qardhawi. tetapi sebaik-baiknya supaya ditinggalkan.

5. Riba menjual barangan online.

Kerana ada sesetangah peniaga online yang mengatakan seseuatu yang berlainan dengan apa yang pelanggan dapat. Hal ini juga dikira riba. Oleh itu, untuk mencegah ia daripada berlaku, hendaklah peniaga online memberi details yang tepat berkenaan produk tersebut tanpa melakukan sebarang tipu daya. Jika barang tersebut terdapat kecacatan, hendaklah peniaga memberitahu akan kecacatan tersebut.

 

Rumusan.

Riba dalam Islam merupakan amalan yang sangat ditegah. Kita sebagai orang-orang yang beriman, wajib mengelakkan diri daripada berjinak-jinak dengan amalan riba ini. Setelah anda membaca kesan-kesan buruk di atas, sudah tentu anda akan terasa betapa indahnya Islam kerana mengharamkan riba. Sesungguhnya Allah tidak akan mengharamkan sesuatu itu jika ia tidak memudharatkan. Begitulah betapa Maha Bijaksana Allah itu.

Walau bagaimanapun, sistem riba masih tidak dapat dimusnahkan dan masih banyak digunakan oleh orang-orang Islam. Untuk mencegah ia daripada berlanjutan, umat Islam perlu memiliki sistem perbankan sendiri yang bersih daripada sistem riba dan tidak dipengaruhi sistem perbank orang-orang kafir musyrik.

Sebagai contoh, kita perlu menghidupkan bank yang memberi pinjaman RM10,000 dan hanya perlu membayar Rm10,000 juga. Dengan itu, barulah negara kita akan mula membangun dengan izin Allah. Akhir sekali, doakan saya agar dapat membuka bank yang bersih daripada amalan riba tersebut. Aamin. Insya Allah.

Wallahu’alam.

 

Nota Kaki:

Segala isi-isi penting daripada penulisan di atas telah di ambil daripada kuliah Dr Abdul Basit:

  1. KEINDAHAN ISLAM – Pengambilan “RIBA” ibarat berperang dengan ALLAH S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.
  2. AAM 1437H: Bahaya Riba Dalam Kewangan & Beberapa Contoh Riba dan Bentuknya Dalam konteks Semasa.

Comments

comments

Related Post

Bahaya Riba Dalam Islam – Tinggalkan Riba ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.