Menjaga Adab dengan Allah Azza Wa Jalla

Menjaga-adab-dengan-Allah-Azza Wa-Jalla-Malaya-Journal

Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan Tiada Nabi lagi selepasnya, Pembawa Rahmat Keseluruh Alam.

Perbincangan kita pada kali ini adalah sangat penting , kerana ia berkenaan adab kita dengan Allah S.W.T. Perbincangan ini telah diajarkan kepada penulis oleh Syeikh Zaini Hj Ahmad dan segala isi-isi penting di sini hanya sedakar nota ringkas penulis semasa menuntut ilmu bersama beliau. Untuk mendengar sendiri kuliah pengajian tersebut, anda boleh click di sini.



Cara Menjaga Adab dengan Allah Ta’ala.

Caranya adalah dengan jangan sesekali bangun subuh(pagi) bersedih dengan dunia. Hal ini kerana, menurut Syeikh Zaini Hj Ahmad, apabila kita bersedih dengan dunia sebaik sahaja bangun daripada tidur, perbuatan ini akan mendatangkan tiga kesan besar yang buruk kepada kita. Tiga perkara buruk tersebut adalah :

1. Menjauhkan kita daripada Allah S.W.T.

Kerana ia diibaratkan seperti kita hidup hanya untuk mencari dunia. Padahal kita dihidupkan di dunia untuk beribadah kepada-NYA. Sebagaimana Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu

(Adz-Dzaariyat 51: 56)

Dunia yang dimaksudkan di atas pula adalah harta, anak-anak, isteri dan lain-lain lagi. Jadi, untuk mengelakkan kita daripada jauh daripada Allah S.W.T, hendaklah kita membiasakan diri apabila bangun sahaja daripada tidur, cari Allah dahulu. Bukannya bersedih kerana tidak mendapatkan dunia ini. Dengan erti kata lain, sebaik sahaja bangun dari tidur, bacalah doa bangun daripada tidur. Sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW di bawah:

Doa ketika bangun dari tidur

Doa-ketika-bangun-dari-tidur-Malaya-Journal

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.

Namun begitu, cara yang paling baik untuk mengingati Allah S.W.T. sudah tentulah dengan menghidupkan akhir malam dengan bersolat, bermunajat dan berzikir mengingati Allah Azza Wa Jalla. Kemudian, disambung pula dengan solat subuh berjemaah di masjid barulah pagi kita akan dilimpahi Rahmat Allah.  Jika anda dapat melakukannya, Insya Allah hidup anda semua pasti akan menjadi tenang dan tenteram.

 

2. Dunia dan Akhirat dia Akan Susah.

Sebab kedua anda tidak sepatutnya bangun bersedih dengan dunia adalah kerana jika kita bangun bersedihan dengan tidak mendapat dunia, ia diibaratkan seperti terlupa yang kita ada Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pemberi. Sebagaimana Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ 

Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

(Adz-Dzaariyaat 51:58)

Jadi, kita sebagai seorang Islam tidak perlu bimbang apa-apa lagi. Kerja kita hanyalah ikhtihar sahaja dan dapat atau tidak seseuatu rezeki itu adalah kerja Allah S.W.T. Peringatan ini dikhususkan kepada diri penulis sendiri terutamanya.



Tambahan pula, saya akan kongsikan satu rahsia bersama anda semua tentang cara yang terbaik untuk memperbanyakkan rezeki anada. Iaitu anda perlu berikhtihar bersungguh-sungguh mencari rezeki sambil meningkatkan iman dan takwa. Sebagaimana dalil-dalil Allah Ta’ala di bawah:

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu rezeki) yang melimpah-limpah berkat-Nya, dari langit dan bumi…

(Al-A’raaf 7:96)

Firman Allah lagi:

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(At-Talaaq 65:3)

Ingat, kita perlu faham bahawa rezeki merupakan qadar Allah yang sudah diatur sejak dalam kandungan ibu lagi dan tidak akan pernah berubah walau anda menangis keluar air mata darah sekalipun. Cuma anda boleh memohon untuk mempercepatkannya melalui doa. Jadi, kenapa anda perlu takut apabila tidak mendapatkannya? Jangan khuatir, rezeki anda semua pasti akan diberikan selagi anda masih hidup di atas muka bumi ini.

 

3. Allah tetapkan hatinya dukacita yang tidak akan hilang selamanya-lamanya.

Sebab terakhir pula adalah disebabkan dukacita ini, dia akan terus berasa tidak seronok dalam kehidupan dan jiwa tidak akan tenang. Inilah akibatnya apabila hati tidak mengingati Allah, kehidupan dia akan menjadi sempit walaupun kaya dan tinggi pangkatnya. Dia akan sentiasa berasa tidak cukup. Sebagaimana firman Allah:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya,dia akan menjalani kehidupan yangg sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

(Taha 20:124)

Justeru, untuk mengelakkan diri kita daripada ditimpa ketiga-tiga azab di atas, kita perlu melatih diri kita supaya bangun sahaja ingat terus kepada Allah. Dan cara yang paling baik adalah dengan bangun di akhir malam untuk berdua-duan dengan-Nya sambil berzikir, solat, menangis dan bermunajat.

Akhir kalam, ingatlah, kehidupan kita ini sudah diatur oleh Allah. Tugas kita ini hanya untuk menjalani kehidupan seharian dengan melakukan amal soleh pada setiap masa. Semoga dengan itu, Allah S.W.T akan menganugerahkan kita dengan kehidupan yang lebih baik daripada biasa. Insya Allah. Sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam firman di bawah:

Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

(Al-Nahl 16:97)



Juga, jangan sesekali masuk campur dengan urusan pentadbiran Allah. Yakni buangkan sifat berasa cemas dan bimbang dengan pemberian dan urusan pentadibiran Allah Ta’ala. Semoga penulisan ini dapat mengingatkan diri anda semua dan saya supaya bertambah yakin akan Allah. Selamat beramal semua dan jangan lupa bangun solat tahajud malam ini!

Wallahua`lam.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.