Cara Berdakwah Yang Terbaik Menurut Al-Quran

Berdakwah merupakan tugas para rasul sejak dahulu lagi. Iaitu tugas yang terpenting kerana menyeru manusia agar menjadi manusia terbaik. Tetapi sebelum saya memberitahu cara berdakwah yang terbaik, kita pergi dahulu kepada makna dakwah itu sendiri.

Apa makna Dakwah?

Menurut Dr Shafie di dalam buku karangan yang berjudul You Are The Best, dakwah bermakna penyeruan bukan bermakna menarik atau mengubah seseorang. Kerana tidak berkuasa untuk mengubah seseorang itu, hanya Allah S.W.T yang mempunyai kuasa tersebut. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W juga ditegur oleh Allah di dalam surah Al-Qasas ayat 56:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak akan mampu mengubah manusia atau memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), hanya Allah (sahaja) yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mahu (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (memeluk Islam).

Jadi tugas kita semasa berdakwah hanya menyampaikan dan mempengaruhi mereka supaya memberi komitmen penuh untuk mempelajari Al-Quran. Sama ada manusia itu mengikutinya atau tidak, itu bukan urusan kita. Dengan erti kata lain, kita hanya perlu fokus kepada usaha berdakwah dan ikhlaskan hati kita ketika berdakwah.

Dan anda tidak perlu risau akan orang yang mendengar dakwah anda tersebut kerana jika dia memang benar ingin memeluk Islam,  InsyaAllah, Tuhan Sekelian Alam akan membuka hati mereka supaya meneriman hidayah-Nya. Jadi, kita tidak perlu bersusah hati jika orang yang mendengar seruan agama kita masih tidak mahu beriman. Bak kata pepatah Inggeris, “concentrate on your effort, do not worry on results” kerana hasil itu urusan Allah. Biarkan Allah membuat kerja-Nya dan kita buat kerja kita (berdakwah).

Kenapa kita mesti berdakwah?

Hal ini kerana, tugas berdakwah merupakan tugas yang besar dan berat. Juga, ia adalah cita-cita manusia yang terbaik. Sebagaimana sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam:

Dari Abdullah bin Amr r.a., bahawa Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)

Berdasarkan hadith di atas, baginda menyeru umatnya (kita semua) supaya menyampaikan seruannya walau hanya satu ayat sahaja. Ini menunjukkan Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam sangatlah mengharapkan umatnya melakukan kerja dakwah ini. Jadi, kita sebagai umatnya haruslah menyahut seruan ini supaya kita mendapat syafaat daripada Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam. InsyaAllah.

 

Cara Berdakwah Menurut Al-Quran?

Seperti yang saya jelaskan di atas, berdakwah bukanlah tugas yang mudah dan sangat memerlukan kesabaran yang tinggi. Cuba kita ingat balik peristiwa Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat yang berdakwah pada zaman mereka. Kebanyakan mereka pernah di ugut untuk dibunuh, dipukul dan diseksa dengan dahsyat. Tetapi sedikit pun daripada halangan tersebut dapat menghalang dakwah mereka.

Oleh itu, disebabkan tugas berdakwah sangatlah berat, hendaklah kita berdakwah secara bijaksana untuk meninggalkan impak yang besar kepada para pendengar. Allah telah ber-Firman di dalam surah An-Nahl ayat 125:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik…”

Dan hikmah di atas bukanlah bermaksud lawak, menghiburkan dan berbagai-bagai pendekatan yang menyeronokkan. Tetapi hikmah ini bermaksud sebagaimana Firman Allah di dalam surah Yasin ayat 2:

“Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh”

Saya teringat pula kata-kata Professor Dr. Hasnan Kasan semasa kuliah maghrib beliau, “Kami (para pendakwah, ustaz dan syeikh) bukanlah penglipur lara untuk menghiburkan anda semua dengan Al-Quran. Kami hanya datang untuk mengajar dan mengingatkan anda semua.” Jadi, memastikan proses dakwah tersebut suatu yang menyeronokkan bukanlah hikmah yang sebenar.

 

Apa yang perlu kita lakukan dengan hikmah Al-Quran?

Ingatkan mereka tentang azab Allah yang sangat pedih, hari kebangkitan, syurga, neraka dan lain-lain lagi.

Firman Allah:

 فَذَكِّرْ بِالْقُرْآنِ مَن يَخَافُ وَعِيدِ

Maka berilah peringatan dengan al-Quran ini untuk siapa yang takut dengan azab-Ku.

(Qaf 50: 45)

Dan cara yang terbaik sudah tentu dengan mengajar mereka mengingati maut sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

“Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, kalau engkau tahu apa yang aku ketahui tentulah engkau akan sedikit ketawa dan banyak menangis”

 

Ringkasan Strategi Dakwah.

1. Ikhlaskan hati anda ketika berdakwah.

Kerana hanya dengan hati yang ikhlas segala kerja dakwah anda akan menjadi mudah.

 

2. Mengucapkan Ta’awwuz.

Apa itu Ta’awwuz? Ta’awwuz ialah ucapan “A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim” yang diucapkan sebelum membaca ‘Basmillah’ apabila kita membuat sesuatu, kerana dengan bacaan ” Ta’awwuz ” akan membersihkan lidah daripada kekotoran yang dibawa oleh syaitan.

Firman Allah SWT :

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Jika engkau diganggu Syaitan dengan sesuatu gangguan, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”

(Al A’raf 7 : 200)

Ungkapannya adalah seperti di bawah:

 

3. Membaca Basmallah.

Kerana bertawassul dengan nama-nama Allah dan memohon barakah di dalam setiap urusan kita adalah sangat dituntut oleh Allah di dalam firman-Nya:

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu

(Al- A’raf 7:180)

 

4. Banyakkan memuji Allah.

Sebagaimana Firman Allah S.W.T.:

فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.

(Ghafir 40:55)

 

5. Berasa rendah diri terhadap Allah S.W.T.

Kerana kita tidak akan mampu menggerakkan tubuh walaupun sejengkal pun tanpa bantuan Allah. Apatah lagi berdakwah. Jadi banyakkanlah mengucap:

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

 

6. Berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Supaya Allah meredhai segala usaha dakwah kita dan memudahkan segala pekerjaan kita. Dan ingatlah, jika Allah menolongmu tidak ada siapa yang dapat mengalahkanmu. Sebagaimana Firman Allah di bawah:

إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Jika Allah menolong kamu  maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia membiarkan (tidak memberi pertolongan-Nya) kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang yang mukmin itu bertawakal (berserah diri).

 

7. Berdakwah dengan contoh teladan.

Hal ini kerana, dalam proses mengajar, membimbing dan berdakwah, cara yang paling berkesan adalah melalui contoh teladan. Sebagaimana ayah dan ibu menjadi contoh teladan kepada anaknya, begitulah orang-orang mukmin menjadi contoh kepada orang yang tidak beriman atau lemah imannya. Disebut di dalam firman-Nya:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

(Al-Ahzab 33:21)

Berdasarkan ayat di atas, Allah berfirman bahawa contoh teladan yang terbaik adalah akhlak Rasulullah S.A.W sendiri. Sehingga Saidatina Aisyah r.a. pernah menyebut bahawa akhlak Rasulullah S.A.W adalah Al-Quran. Jadi, kita sebagai umatnya harus menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai role model.

Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah S.A.W sendiri, kebanyakan orang-orang kafir yang memeluk agama Islam adalah disebabkan akhlak Rasulullah S.A.W yang tersangat mulia. Malah, Rasulullah S.A.W juga di gelar Al-Amin di kota Mekah sebelum menerima wahyu lagi. Jadi, mereka tahu apa yang didakwah oleh Rasulullah S.A.W adalah yang benar kerana sesungguhnya baginda tidak pernah menipu. Namun, disebabkan hati mereka yang keras, kebanyakan mereka masih tidak mahu beriman.

Justeru, kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. hendaklah memikul tanggungjawab berdakwah ini. Jangan biarkan walau seorang pun yang mati sebelum mengenal Islam. Walau bagaimanapun, di zaman yang moden ini, terdapat pelbagai cara yang anda boleh buat untuk berdakwah. Antaranya:

  • Membuat video tentang dakwah Islam untuk diviralkan di media sosial dan sebagainya.
  • Menulis blog tentang kelebihan Islam seperti yang saya buat ini.
  • Mengingatkan rakan-rakan anda supaya bersolat ketika sibuk bekerja.
  • Jika anda peniaga restoran, bolehlah ingatkan pelanggan anda supaya membaca bismillah dan doa makan sebelum makan.

Serta banyak lagi. Jangan jadikan alasan tidak cukup ilmu atau perlu jadi ustaz dulu untuk berdakwah. Itu semua adalah bisikan syaitan dan iblis sahaja. Jangan tertipu dengan mereka. Ucaplah ta’awwuz dan InsyaAllah anda juga boleh berjaya semasa berdakwah.

 

Comments

comments

Related Post

3 Tips Dakwah daripada Dr Zakir Naik ﷽ Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan Tiada Nabi Lagi Selepasnya, Pembawa Rahmat Keselur...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.