Dalil Tentang Dunia Yang Fana Ini

dunia-Malaya-Journal

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Input-input yang berguna pada artikel kali  telah dipetik daripada kuliah maghrib bersama Dr Mohd Ali Saripan Al Hafiz. Pada kuliah kali ini, beliau mengajar kepada saya dua lagi dalil di dalam al-Quran tentang dunia yang bersifat sementara ini. Dalil tersebut terbahagi kepada dua iaitu dalil tentang ciri-ciri dunia dan dalil tentang isi-isi dunia.

Apakah sifat-sifat dunia?

Firman Allah:
al-hadid-57-20-Malaya-Journal

Maksudnya:

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Al-Hadid 57: 20)

Jika anda faham dan amalkan ilmu di dalam ayat di atas, anda akan berhenti mengejar dunia semata-mata. Kerana orang-orang mukmin yang sebenar hanya mencari bekalan dan hanya orang-orang kafir mencari kesenangan. Di situlah terletaknya perbezaan terbesar antara mereka dan kita. Justeru, kita hanya mencari keperluan dunia sekadar mencukupinya sahaja. Tidak perlu mencari kesenangan di dunia kerana itu adalah sifat orang kafir. Kesenangan yang dicari bukan di dunia ini tetapi di syurga Allah Ta’ala.

Jika anda amalkan pencarian kehidupan anda sekadar keperluan sahaja, anda akan tenang serta memahami bahawa dunia ini hanyalah:

  1. Permainan.
  2. Hiburan.
  3. Perhiasan atau pun tipu daya sahaja.

Tetapi, kebanyakan orang-orang beriman tidak sedar akan hal di atas. Mereka terlalu asyik mengejar dunia sehingga terlalai dan sampai sekarang masih tidak sedar. Mereka tertipu dengan bisikan syaitan, terpengaruh dengan hawa nafsunya dan ia adalah suatu yang sangat membimbangkan. Apakah mereka fikir mereka akan sempat bertaubat? Atau mereka fikir umur mereka hingga 70 tahun? Padahal mati tidak pernah melupakannya.

Marilah kita istighfar sebentar dan memohon kepada Allah Ta’ala supaya kita jauh daripada orang yang terpedaya dengan kesenangan dunia seperti timur dan barat jauhnya. Untuk memudahkan anda semua supaya lebih faham, anda perlu mengetahui seni-seni kehidupan sebagai seorang hamba Allah. Dan penerangan ini sudah pastinya seorang syeikh yang sepatutnya menjelaskannya. Oleh sebab itu, lihatlah video tentang penerangan seni kehidupan oleh Sheikh Muhammad Zaki di bawah:


 

Begitulah kehidupan kita seharian. Ibarat explorace yang sentiasa ada cubaan dan musibah yang perlu kita lalui dengan jayanya. Sekiranya, kita leka dengan mencari rezeki sudah tentu kita akan gagal dengan mudah sekali. Jangan sesekali membiarkan perkara ini berlaku pada diri anda. Ini adalah peringatan buat anda dan saya terutamanya.

 

Apakah Isi-Isi Dunia menurut al-Quran?

Fiman Allah Ta’ala:

ali-Imran-3-14-Malaya-Journal

Maksudnya:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

(Ali-Imran 3: 14)

Berdasarkan dalil di atas, menurut Allah S.W.T. antara isi-isi dunia itu adalah:

  1. Wanita/Lelaki.
  2. Anak-pinak.
  3. Harta benda.
  4. Kenderaan.
  5. Binatang ternakan.
  6. Kebun atau tanah.

Sehubungan dengan itu, perkara-perkara di atas inilah yang menjadi punca seseorang itu lupa pada Allah, bermegah-megahan dengan rezeki yang diperolehi dan berlumba-lumba mengejar dunia sehingga masuk kubur. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Berlumba-lumba telah melalaikan kamu (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur.”

(At-Takasur 102: 1-2)

Oleh itu, praktikan dan amalkan apa yang di ajar tentang seni kehidupan oleh Syeikh Muhammad Zaki di atas. Itu adalah cara terbaik kita untuk kekal selamat dunia dan akhirat. Pastikan apa yang anda faham tentang dunia ini iaitu “dunia hanya sementara” diamalkan dalam kehidupan seharian anda.

Jangan jadi seperti kebanyakan orang  beriman, yang mengatakan “dunia hanya sementara” tetapi bekerja bagaikan ada jaminan mereka akan hidup hingga umur 100 tahun. Padahal mati esok pun boleh jadi. Mereka menangguh taubat dan ibadat kepada Allah Ta’ala disebabkan dunia dan itu adalah sesuatu yang sangat membahayakan diri mereka.

Hal ini demikian kerana, mereka terlampau mengejar dunia sehingga tidak ada masa untuk beribadah. Mereka sanggup bekerja hingga lewat malam demi mencari sesuap rezeki katanya. Sehingga melewatkan-lewatkan solat. Sedangkan yang memberi rezeki itu adalah Allah S.W.T. sendiri. Apakah mereka mereka fikir dengan menjauhkan diri daripada Allah Ta’ala merupakan cara terbaik untuk menambahkan lagi  rezeki mereka? Sudah tentu tidak dan amatlah pelik sekali cara mereka berfikir.

Kesimpulannya, ingatlah saudara dan saudariku! Dunia tidak akan membantu kita sedikit pun di akhirat nanti. Hanya amalan kebaikan yang anda lakukan dan Rahmat Allah S.W.T. yang dapat membantu kita semua pada Hari Kiamat nanti. Jadi, tepuk dada dan muhasabah diri kita. Adakah jika anda mati pada malam ini anda yakin anda akan selamat di alam barzakh nanti? Jika tidak, berhentilah mengejar dunia ini. Peringatan kepada diri saya sendiri terutamanya. Selamat beramal semua. Gunakan “mati” sebegai ubat yang terbaik anda agar kita tersedar daripada pengaruh dunia ini.

 

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.