Jangan tinggalkan sunat-sunat dalam solat.

Jangan-tinggalkan-sunat-dalam-solat-Malaya-Journal

Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda selepasnya.

Jangan tinggalkan sunat-sunat di dalam solat dengan sengaja. lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Pesanan ikhlas ini telah disampaikan sendiri oleh Prof Hasnan Kasan semasa kuliah maghrib beliau berjalan.

Jadi, berdasarkan pensanan di atas, penulisan kali ini adalah tentang sunat dalam solat kerana kita akan menghadapi bulan Ramadhan tidak lama lagi. Dan sunat dalam solat ini pula, selalu ditinggalkan terutamanya di dalam solat sunat tarawih. Justeru, tujuan artikel ini ditulis adalah untuk meningatkan kita semua agar tidak meninggalkan sunat dalam solat supaya kita solat tarawih dengan sempurna. Tidak perlu laju-laju atau tergopoh-gapah. Pesanan ini kepada diri saya juga terutamanya.

Sebelum bermula, segala isi penting dalam artikel kali ini telah disampaikan oleh Prof Hasnan Kasan berdasarkan buku yang disusunnya yang bertajuk “Mari Mendirikan Solat”. Di dalam buku ini terdapat segala jenis informasi tentang solat beserta dalil dan syarahan berdasarkan ulama-ulama terdahulu yang sangat faqih ilmu agama Islam. Saya sangat syorkan anda membelinya juga.



Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, apabila kita melakukan sesuatu amalan sunat di Bulan Ramadhan, pahala kita akan dilipat gandakan. Jadi mengapa kita selalu tinggalkan sunat dalam solat ketika solat sunat tarawih? Takkan sebab nak cepat je alasannya. Sangatlah rugi kalau macam itu.

 

Sunat-Sunat Dalam Solat.

1. Sunat Membaca Doa Iftitah.

Iaitu waktu ketika selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca surah al-Fatihah. Dan ini sering sekali imam-imam sama ada di surau atau pun masjid yang meninggalkannya. Dengan alasan hendak melakukan solat sunat tarawih 20 rakaat. Padahal, membaca doa iftitah tak sampai 30 saat pun.Dan jika kita membaca doa iftitah itu, hanya cuma tambah 5 minit sahaja. Takdelah lama sangat pun tapi rasa sangat lama apabila sedang solat.

Justeru, saya mencadangkan agar makmum menegur imam-imam di masjid atau surau supaya tidak meninggalkan bacaan doa iftitah. Kerana sangatlah rugi amalan lima minit dan pahala pula dilipat gandakan tapi tak buat. Penjelasan lebih lanjut tentang ini, ada pasa muka surat 42 dalam buku di atas.

 

2. Mengucapkan Amin serentak dengan Imam mengaminkan.

Berdasarkan hadis nabi SAW, sunat kita mengaminkan al-Fatihah serentak dengan Imam dan dosa-dosa kita yang lalu akan diampunkan. Tetapi masalahnya, ada sesetengah makmum yang imam baru sahaja habis baca al-Fatihah,  dia terus mengaminkannya. Padahal imam baru hendak mengambil nafas baru dan selepas itu baru dia akan mengaminkannya.

Walaupun perkara ini sangat kecil, Islam sangat peka dengan ajaran. Ikutlah apa yang diajarkan oleh Baginda SAW, jangan percepatkan atau melambatkan. Isu seperti ini sering kali penulis dengar terutamanya ketika solat Jumaat berjemaah di masjid dan penulis harap mereka tidak melakukannnya di solat sunat tarawih. Penjelasan tentang ini ada pada muka surat 75 di dalam buku tersebut.



3. Imam Solat sunat untuk diamkan diri selepas mengucapkan Amin.

Tujuannya utamanya adalah untuk memberi masa kepada makmum untuk membaca surah al-Fatihah sambil mendengari bacaannnya. Iaitu makmum mendengar bacaan al-Fatihahnya sendiri. Tetapi sering kali semasa solat sunat tarawih, imam jemputan terus sahaja membaca surah lazim selepas habis membaca surah al-Fatihah. Maka, rugilah pahala sunat di sini dan makmum pula akan terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah mereka.

Di sini, Prof hasnan Kasan syorkan imam berhenti paling lama 28 saat untuk memberi laluan kepada makmum membaca al-Fatihah. Pada waktu ini, imam boleh berzikir atau membaca quran secara perlahan. Penjelasan lebih lanjut tentang ini ada pada muka surat 85 di dalam buku tersebut.

 

4. Sunat membaca Al-Quran dengan tartil dan telinga kita mendengar bacaan kita.

Iaitu baca dengan perlahan dalam 7 atau 8 nafas. Bacalah surah  dengan tenang, terutamanya surah Al-Fatihah. Penjelasan lebih lanjut ada pada muka surat 119.

 

5. Sunat berzikir dan berdoa selepas solat fardhu.

Hal ini kerana berzikir selepas solat boleh menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan berdoa selepas solat fardhu adalah antara waktu paling mustajab berdoa. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dari Abu Hurairah RA dariapada Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan.

Tetapi kadang-kadang, ada segelintir ahli qariah surau dan masjid meninggalakan amalan zikir ini di bulan Ramadhan dengan menggantikan amalan membaca tahlil untuk orang-orang di dalam kubur. Tetapi jangan salah faham kerana penulis tak kata pun tak boleh baca tahlil.



Cuma jangan tinggalkan amalan berzikir dan doa selepas solat maghrib terutamanya. Kerana jika anda semua meninggalkannya kerana hendak baca tahlil, amalan seperti ini ibarat kita tolong orang mati tapi diri sendiri terlupa nak tolong. Penjelasan seperti ini ada pada muka surat 207. Fikir-fikirkanlah.

 

6. Disunatkan khusyuk zahir dan batin ketika solat.

Menurut Prof Hasnan Kasan, khusyuk dari segi batin adalah hati yang berasa sedang berdiri di hadapan Raja Segala Raja sambil bermunajat kepada-Nya. Jadi, bacaan di dalam solat itu tidak perlu laju-laju manakala di dalam hati pula menyakini bahawa semua solatnya akan dipersembahkan kepada Allah SWT.

Namun, boleh jadi juga Allah SWT pulangkan balik solat-solat kita itu kepada kita. Yang bermaksud Allah Ta’ala tidak menerima solat kita itu. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, ulama-ulama di zaman dahulu sudah memberikan jawapan iaitu pegang dua formula di bawah ini:

  • Lakukanlah segala rukun dalam solat untuk pastikan solat kita sah.
  • Lakukanlah segala sunat dalam solat untuk pastikan solat kita diterima Allah SWT.

Tidak kiralah sama ada solat sunat atau pun solat fardhu. Berpeganglah pada dua formula di atas ini dan praktikkanya dalam solat anda. Penjelasan lebih lanjut ada diterangkan pada muka surat 196.



Kesimpulannya.

Saya menyeru kepada diri saya dan anda semua agar mari kita sama-sama meningkatkan amal soleh kita di bulan Ramadhan ini dan pastikan kita istiqomah hingga ke akhir hayat. Jangan tingkatkan amal soleh dan stop di bulan Ramadhan sahaja. Dan saya berharap semoga anda semua dan saya diberikan kekuatan untuk tidak meninggalkan sunat dalam solat terutamanya semasa solat sunat tarawih. Aamin.

Wallahua`lam.

 

Sumber rujukan:

  1. Mari Menunaikan Solat susunan Prof. Hasnan Kasan.

 

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.