Jauhi Sifat Bakhil

Jauhi-Sifat-Bakhil-Malaya-Journal

Adakah anda seorang yang selalu bersedekah? Atau tidak? Jika tidak, ini menunjukkan anda mempunyai ciri-ciri seorang yang bakhil. Dan ini adalah sesuatu yang sangat merbahaya bagi seorang muslim. Tepuk dada tanyalah iman anda.

Hal ini kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

Sesungguhnya Allah membenci orang yang bakhil waktu hidupnya dan pemurah waktu matinya.

Juga beliau bersabda:

Dua hal yang tidak semestinya ada dalam diri seorang mukmin; bakhil dan akhlak buruk.”

Dan sabda baginda lagi:

Allah menjadikan orang jahat dan menyelimutinya dengan kebakhilan dan harta.”

 

Jadi sangatlah merbahaya bagi orang-orang Muslim yang mempunyai harta tetapi memiliki sifat kedekut dan bakhil. Kerana ia mungkin adalah istidraj daripada Allah untuk menyesatkan kita bukannya nikmat dari Allah. Marilah kita beristigfar sebentar dan bermuhasabah diri kita sekiranya anda atau saya sendiri terjebak dengan sifat bakhil ini.

Firman Allah Ta’ala:

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka (melupakan al-Quran; tidak mahu belajar al-Quran), Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka ketika itu mereka terdiam putus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

(Al-An’am 6: 44)

 

Untuk mencegah istidraj ini daripada berlaku kepada kita, hendaklah kita jadikan harta yang dikurniakan Allah itu sebagai titian kita ke syurga bukan sebaliknya. Sebagaimana sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Abdur Rahman Bin Auf yang sanggup mendermakan beribu-ribu dinar untuk “fi sabillah”.

Sehingga ada yang mengatakan, pada suatu hari kota Madinah bagaikan terkena gempa bumi tetapi rupa-rupanya 700 ekor unta yang sarat dengan muatan milik Abdur Rahman Bin Auf yang menyebabkan gegaran tersebut. Kesemua 700 ekor unta itu sedang berjalan di kota Madinah kerana hendak diinfakkan untuk menampung  kos peperangan umat Islam. MasyaAllah. Begitu dahsyat sekali pengorbanan para sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Namun, walaupun kita tidak mampu untuk melakukan sedemikian, janganlah kita gusar kerana Allah tidak memandang berapa banyak yang kita derma tetapi Allah memandang usaha dan kemampuan kita. Sebagai contoh, jika gaji seorang muslim itu sebanyak RM8000, adakah logik jika dia hanya menderma satu ringgit sahaja pada setiap solat jumaat? Sudah tentu tidak. Jumlah yang terlalu sedikit itulah yang menunjukkan sifat bakhil itu masih merajai hati seseorang itu.

 

Apa maksud bakhil?

Hadan r.a. pernah ditanya soalan di atas ini dan beliau menjawab, “Dia itu seorang lelaki yang melihat apa yang diinfakkannya adalah rosak dan apa yang disimpannya adalah baik”.

Mereka inilah orang-orang yang tertipu dan termakan hasutan syaitan seperti firman Allah di bawah:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil & kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

(Al-Baqarah 2: 268)

Akibat tertipu oleh syaitan, mereka menjadi terlalu sayang akan harta mereka sehingga takut untuk:

  • Melakukan korban atau akikah.
  • Membayar zakat.
  • Menderma.
  • Menginfakkan harta ke jalan Islam.
  • Pergi menunaikan haji atau umrah.

Alasan mereka pula, sama sahaja sejak dulu sampai sekarang iaitu tidak mempunyai duit yang cukup. Sedangkan kereta mereka, rumah mereka dan aktiviti melancong keluar negara sangatlah dahsyat berbanding orang biasa.

 

Punca wujud sifat bakhil.

  • Mereka terlampau mencintai harta dan dunia ini melebihi Akhirat.
  • Panjang angan-angan mereka.
  • Takut fakir atau miskin.
  • Suka anak-anak sehingga menjadikan anak-anak itu seorang yang penakut dan bakhil. Kerana mereka hanya mementingkan keluarga mereka sahaja.
  • Mereka suka melihat wangnya dan kebendaan dalam genggamannya. Padahal dia sedar akan mati suatu hari nanti.

Akibat Memiliki Sifat Bakhil.

1. Dia mengumpulkan harta untuk orang lain.

Dengan erti kata lain, dia tidak mendapatkan kelazatan kekayaan dan kebaikannya. Sehingga Waqi’ berkata di dalam kita Mukhashafah Al-Qulub karangan Imam Al-Ghazali:

Si jahat itu dikumpulkan kekayaan untuk ahli warisnya.

Dia sendiri menahan panasnya lapar.

Bagai anjing pemburu menggigit mangsa.

Dia melepaskan untuk tuannya.

 

2.  Orang yang bakhil itu tidak adil.

Hal ini dijelaskan oleh kata-kata Imam Abu Hanifah r.a sendiri. Beliau telah berkata, “Aku melihat orang bakhil itu tidak adil. Kerana kebakhilan selalu mengajak orang itu mengambil lebih jauh dari haknya kerana bimbang dia tertipu (atau terkurang). Jelas orang demikian tidak boleh memegang amanat.”

 

3. Orang bakhil disayangi Iblis.

Pernah suatu hari dahulu Nabi Yahya a.s. berjumpa dengan Iblis. Lalu berlakulah perbualan di bawah:

Nabi Yahya bertanya: “Wahai iblis, ceritakan padaku siapa yang paling kau sukai dan paling kau benci?”.

Iblis menjawab:”Yang paling kusukai adalah orang mukmin yang bakhil dan paling kubenci orang fasik yang pemurah.”

Nabi Yahya betanya lagi: “Mengapa?”.

Iblis menjawab: “Kerana kebakhilan orang bakhil itu telah cukup bagiku. Sedang orang fasik yang pemurah, aku bimbang kalau Allah membukakanya dalam kemurahannya kemudian Dia menerimanya.”

Sebelum Iblis pergi berlalu dia berkata: “Kalau engkau bukan Yahya a.s, tidak perlulah aku ceritakan kepadamu.”

 

Kesimpulannya.

Jauhilah sifat bakhil sejauh mungkin kerana inilah sifat tidak membawa sebrang kebaikan kepada kita dan akan membinasakan kita. Seorang mukmin yang sejati tidak memerlukan sifat ini.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.