Berhenti Melakukan Dosa Adalah Rahsia Kejayaan Muslim

kempen-berhenti-melakukan-dosa

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Pada hari ini saya mahukan kongsikan sedikit ilmu daripada kuliah subuh dan maghrib yang telah  disampaikan oleh Professor Dr. Hasnan Kasan. Walaupun agak berat sedikit tajuknya tetapi marilah kita sama-sama amalkannya. Dan pada malam 16 Muharram tersebut, Prof Hasnan Kasan telah mengajar kami (ahli qariah masjid) tentang tadabbur surah at-Taubah pada ayat 36. Pada pandangan saya, ilmu taddabbur surah at-Taubah pada ayat 36 ini sangatlah penting untuk kita sama-sama amalkan.

Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

At-Tawbah-9-36-Malaya-Journal

Maksudnya:

Sesungguhnya jumlah bulan-bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketentuan Allah pada waktu Di menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan (Muharram, Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah) yang dihormati. Itulah (ketentuan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum musyrikin seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.

(At-Taubah 9: 36)

 

Berdasarkan fahaman saya melalui penerangan yang dibuat Prof. Hasnan semasa kuliah berjalan, saya mendapat satu input yang sangat berguna dan perlu kita amalkan berdasarkan ayat di atas, iaitu:

  • Jangan menganiaya diri kita sendiri di dalam 12 bulan tersebut terutamanya di dalam 4 bulan haram. Dan menganiaya diri sendiri di sini bermaksud melakukan masksiat, tinggal yang wajib ataupun melakukan yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Tetapi input di atas hanya menerangkan tentang isi ayat di atas sehingga separuh ayat sahaja. Justeru, untuk memahami ayat di atas, Prof. Hasnan telah menggunakan sebuah lagi Firman Allah S.W.T. di dalam al-Quran al-Karim untuk menerangkan maksud yang tersirat pada  perkataan:

فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ” yang membawa maksud “janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri dalam bulan-bulan yang dihormati itu“.

 

Firman Allah Ta’ala:

Al-Araf-7-23-Malaya-Journal

Maksudnya: Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi“.

(Al-A’raf 7: 23)

 

Iaitu doa Nabi Adam A.S. bersama isterinya sendiri yang meminta ampun kepada Allah Azza Wa Jalla setelah melanggar perintah Allah disebabkan bisikan syaitan. Disebabkan itu, ayat di atas diajar oleh Prof Kasnan kepada kami semua, supaya jika kita menzalimi diri kita sendiri dengan melakukan pelbagai dosa terutamanya pada bulan-bulan haram tersebut. Amalkanlah doa di atas ini dan doa ini juga sangat mahsyur di mana-mana sahaja. Sering kali kita akan terdengar apabila tok imam membaca doanya.  Untuk mengamalkan doa ini, mulakan doa anda pada kalimah “رَبَّنَا“.

Tambahan pula, untuk lebih memahami makna yang tersirat pada perkataan “الْخَاسِرِينَ” yang membawa maksud orang-orang yang rugi dia atas. Prof. Kasnan menggunakan Firman Allah pada surah al-Asr untuk menerangkan makna yang tersirat tersebut. Dan melalui surah al-Asr inilah, kita boleh mengetahui dua persoalan utama iaitu:

  • Siapakah dia orang-orang yang rugi ini?
  • Bagaimanakah untuk mengelakkan diri kita dari menjadi orang-orang yang rugi tersebut?

Firman Allah Ta’ala:

 (3)وَالْعَصْرِ(1)  إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2)  إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر

Maksudnya:

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (3).

(Al-Asr 103: 1)

Berdasarkan dua ayat pertama surah al-Asr di atas, Prof Kasnan menerangkan orang-orang yang dalam kerugian itu adalah orang yang tidak memanfaatkan masanya. Mereka itulah orang-orang yang lalai, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan yang wajib dan melakukan larangan Allah Azza Wa Jalla.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Jika ya, marilah kita sama-sama bertaubat dan meninggalkan maksiat itu dengan serta merta. Walaupun, ia adalah sesuatu yang agak sukar, tetapi janganlah anda mengalah kerana ia bukanlah suatu yang mustahil untuk dilakukan. Berapa ramai orang-orang Muslim yang bertaubat sehingga ada yang menjadi lebih baik daripada kita yang biasa ini? Jadi, jangan mencari alasan dan mari kita menyambut kempen meninggalkan dosa yang dibuat oleh Prof Kasnan sendiri.

Di samping itu, jawapan bagi persoalan kedua dia atas adalah berdasarkan ayat ketiga surah al-Asr di atas. Iaitu orang-orang yang tidak berada dalam kerugiaan adalah orang-orang yang:

  • Beriman: Maksud beriman di sini adalah berdasarkan Rukun iman yang enam itu. Dan rukun iman yang kelima adalah beriman pada hari akhirat. Dan salah satu dari hari akhirat adalah hari perhitungan. Pada hari tersebut, empat perkara yang akan ditanya kepada kita semua adalah Umur, Muda, Harta dan Ilmu. Fokuskan kepada umur tersebut, kerana di situlah kita akan ditanya akan apa yang kita lakukan semasa 12 bulan di atas berjalan. Adakah kita hanya bersenang-senang? atau sentiasa menuntut ilmu dan mengamalkannya? Tanyalah diri anda sendiri, yang mana satu anda lebih utamakan. Moga-moga Allah Ta’ala mengampunkan kita semua.
  • Beramal soleh.
  • Memberi nasihat dengan kebenaran. Sebagai contoh, anda boleh ke kuliah masjid untuk mendapatkan nasihat daripada ustaz, dr., professor atau pun mana-mana Syeikh yang berkesempatan. Selepas itu, anda sampaikanlah nasihat mereka itu sendiri kepada ahli keluarga anda. Walaupun hanya sepatah dua pun jadilah.
  • Memberi nasihat dengan sabar. Seperti yang kita tahu, memberi nasihat sangatlah mudah tetapi menerima nasihat atau teguran adalah suatu yang sangat sukar. Kerana kita perlu menelan kesalahan kita dan mengubahnya. Di tambah dengan ego seseorang lagi, semakin sukarlah jadinya. Saya akui, saya sendiri pada mulanya sukar untuk menerima teguran kerana saya hanya mahu mendengar nasihat daripada orang-orang yang lebih baik daripada saya sahaja. Padahal, teguran sepatutnya diterima oleh sesiapa sahaja tidak mengira darjat dan pangkat.  Sehingga kini, saya melatih diri saya sendiri untuk menerima segala apa teguran daripada sesiapa sahaja walaupun pahit. Terus terang, saya masih belum membiasakan diri dengan perkara ini. Tetapi, segala apa yang ditegur saya lakukan juga kerana ia teguran yang membaiki diri saya sendiri. Alhamdulillah.

Setelah itu, Prof Kasnan menjelaskan ayat “وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةًyang membuktikan umat Islam memerlukan negara yang Islam yang kuat dan hebat lebih-lebih lagi dari segi kekuatan tentera supaya kita dapat membantu dan memerangi para musyirikin yang semakin melampau.

Dan ayat ini adalah tanggungjawab seorang pemimpin dan ditujukan khusus kepada pemimpin negara bukannya untuk orang awam seperti kita. Sebagaimana pada zaman  para Khulafa al-Rasyidun, zaman Turki Uthmaniyah atau zaman Salahuddin al-Ayubi yang mempunyai ketenteraan yang sangat kuat untuk membela orang-orang Islam di seluruh dunia. Mereka dapat mengalahkan musuh-musuh Islam yang sangat banyak walaupun bilangan tentera mereka sangat sedikit jika hendak dibandingkan.

Malah, apabila orang-orang Islam ditindas sahaja di atas muka bumi ini, mereka akan dapat membantu dari segi kekuatan tentera bukan hanya berdoa semata-mata. Seperti yang kebanyakan kita lakukan pada zaman ini, itulah kesilapan kita. Disebabkan itu, orang-orang musyrik semakin berani memijak dan membunuh orang-orang Islam sepertimana yang berlaku di Rohingya sekarang ini.

Dan kesilapan yang lebih besar lagi adalah terletak pada ayat terakhir ayat surah at-taubah di atas. Iaitu Prof Kasnan menjelaskan kepada kami akan kepentingan yang paling utama adalah meninggalkan dosa dan maksiat. Iaitu rahsia utama kejayaan orang-orang Islam pada zaman dahulu. Caranya hanya dengan menjadi orang-orang yang bertakwa. Kerana Allah sudah berfirman di ayat di atas yang mengatakan “أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ” .

Yang bermaksud Allah tidak bersama-sama kita yang masih kotor hatinya dipenuhi maksiat. Jadi, jangan hairanlah jika Allah Ta’ala tidak memakbulkan  doa kita itu. Untuk memastikan anda supaya lebih memahami kepentingan meninggalkan dosa ini, bacalah petikan daripada pesanan Saidinar Umar Al-Khattab kepada Saad Bin Abi Waqqas bersama bala tenteranya semasa hendak memerangi 0rang-orang Parsi yang tidak mahu beriman. Di bawah berikut adalah pesanan beliau:

Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Saad ! Dan juga mereka yang bersama-samamu…
Supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana 
sesungguhnya
 taqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan.

Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu…
supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana 
sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.
Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang-orang Islam kekuatan. 

Bilangan tentera kita tidak sebanyak bilangan tentera mereka. Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka.
Maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!
Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT keatas musuh-musuh ini dengan kelebihan kita, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka. 

Ketahuilah!
Bahawa ada bersama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi, dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah SWT untuk menjagamu. 
Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. Maka malulah terhadap apa yang ingin kamu lakukan.
Janganlah kamu berkata “Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, dan mereka tidak akan dapat menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan”.
Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh, seperti yang pernah berlaku kepada kaum Bani Israil dahulu yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api). 

Mohonlah dari Allah Taala kemenangan keatas nafsu-nafsu mu, sepertimana kamu memohon kemenangan keatas musuh-musuh mu.
Aku memohon perkara yang sama keatas diriku dan dirimu.

~ Saidina Umar Al-Khattab

Selesai sahaja anda membaca pesanan Saidinar Umar Al-Khattab di atas, anda akan dapat tahu serta merta apakah dia rahsia kejayaan tentera Islam. Iaitu dengan meninggalkan dosa dan maksiat. Kerana hanya dengan cara ini, Allah S.W.T. dan para malaikat akan turut serta bersama-sama dengan mereka semasa berperang. Dengan erti kata lain, meninggalkan dosa adalah merupakan kunci kekuatan Islam yang sebenar. Allahu Akbar!

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha menjadi orang-orang yang tidak berada dalam kerugian dengan berhenti melakukan maksiat dan menuntut ilmu al-Quran serta mengamalkannya. Semoga dengan itu, Allah Azza Wa Jalla akan menerima taubat kita dan mematikan kita dalam kalangan orang beriman. Jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh tidak ada sebab anda tidak mampu untuk anda tidak dapat melakukannya. Allah pasti akan membantu kita. InsyaAlllah.

 

Comments

comments

Related Post

Hadis 27 – Kebajikan atau Dosa? ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Kesan Melakukan Maksiat Pada Diri Kita ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
5 Pesanan Wali Allah Tentang Maksiat ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Cara Efektif Meninggalkan Maksiat Menurut Al-Quran... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.