Kempen Memperkasa Generasi Remaja

Kempen-Memperkasakan-Generasi-Remaja-Malaya-Journal

Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda selepasnya.

Setelah sebulan lamanya tak dengar kuliah Prof Hasnan Kasan, akhirnya masa yang ditunggu telah tiba dan kali ini Prof Kasnan telah membuat satu lagi kempen iaitu kempen memperkasakan generasi remaja. Iaitu mereka yang berumur 13 hingga 40 tahun. Kerana berdasarkan pemerhatian Prof Hasnan sendiri, kebanyakannya umat Islam yang selalu berulang-alik ke masjid atau datang ke kuliah agama kebanyakkan berumur 50 tahun ke atas sahaja.

Rasulullah s.a.w. bersabda, Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah bahawa dia adalah seorang yang beriman”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

Persoalannya, di manakah anak-anak muda remaja generasi kita? Adakah mereka hanya sibuk berpesta, melepak atau bekerja sahaja? Jika, begitulah keadaan mereka, maka itulah sebab utama umat Islam sekarang ini mundur berbanding orang-orang kafir. Kerana generasi muda ini adalah pewaris kita, jika iman mereka hanya ala kadar sahaja, mana mungkin mereka dapat melawan fitnah dunia di akhir zaman ini.



Untuk mencegah perkara ini, Prof Hasnan telah mangajarkan kepada ahli Qariah Masjid Jamek Ar-Rahimiah beberapa ayat tentang 7 remaja al-Kahfi yang lari ke gua untuk mempertahankan akidahnya. Dalil-Nya seperti di bawah.

 

Dalil Pertama.

A007

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

(Al-Kahfi 18:7)

Berdasarkan ayat di atas, point pertama yang diajarkan oleh Prof Hasnan adalah berkenaan dengan perkataan  زِينَةً لَّهَا ” yang bermaksud sebagai perhiasaan. Di sini, Prof Hasnan menjelaskan, perhiasan ini adalah bumi dan segala isinya. Ciri-cirinya pula, adalah cantik dan selalu menarik perhatian manusia termasuk penulis juga. Tetapi, Prof Hasnan berpesan kepada saya supaya jangan terpedaya dengan dunia ini kerana banyak sekali manusia yang sudah tertipu. Ada yang sempat bertaubat tetapi ada juga yang tidak sempat bertaubat.

Saya juga teringat Syeikh Zaini Hj Ahmad pernah memberitahu saya bahawa:

Sihir dunia lebih merbahaya daripada sihir Harut Marut.

Hal ini kerana, sihir Harut dan Marut paling power pun hanya menceraikan suami dan isteri tetapi sihir dunia menceraikan hamba dengan Tuhannya.

Seterusnya, ayat ”  لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  ” pula, Prof Kasnan menjelaskan bahawa dengan dunia ini, Allah SWT mahu menguji hamba-hambaNya yang mana satu paling baik amalannya. Dan ayat ini lebih kurang sama dengan maksud ayat di bawah:

A002

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

(Al-Mulk 67:2)



Dalil Kedua.

Dalil kedua ini adalah berkenaan kenapa kita mesti pilih أَحْسَنُ عَمَلًا?  Jawapannya ialah kerana suatu hari nanti kita semua akan mati dan akan dikumpulkan di padang mahsyar yang terbentang luas. Kemudian, segala amalan yang pernah kita lakukan akan dibentangkan untuk diadili.

Firman Allah Ta’ala:

A008

Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

(Al-Kahfi 18:8)

Berdasarkan ayat di atas, Prof Hasnan mengatakan, para ulama berpendapat bahawa bumi ini akan menjadi padang mahsyar. Tetapi, bumi ini akan dihancurkan dahulu semasa Hari Kiamat dan dibentangkan menjadi tanah yang terbentang luas berwarna putih. Kemudian, manusia sejak daripada Nabi Adam A.S sehingga umat Nabi Muhammad SAW akan dikumpulkan di situ.  Jadi, “أَحْسَنُ عَمَلًا” inilah yang akan dibawa oleh kita ke sana supaya kita dapat tinggal di syurga Allah SWT dengan Rahmat-Nya. Inilah tujuan utama kita semua!

 

Dalil Ketiga.

Dalil ketiga pula, Allah SWT menceritakan tentang perilah 7 remaja ashabul kahfi yang telah berjaya di dalam hidupnya dengan mengamalkan “أَحْسَنُ عَمَلًا”  serta dirakamkan di dalam al-Quran. Tetapi, Prof Hasnan tidak menceritakan kisah ashabul kahfi ini kerana kita sudah banyak kali dengar. Jadi, beliau menerangkan kepada kami apa yang 7 remaja ini lakukan semasa hidup beliau.



Firman Allah SWT:

A010

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan remaja memilih sendiri pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

(Al-Kahfi 18:10)

Perkataan pertama yang diterangkan oleh Prof Hasnan Kasan adalah “إِذْ أَوَى”  yang bermaksud 7 remaja ini memilih untuk melakukan “أَحْسَنُ عَمَلًا” dengan sendirinya kerana Allah SWT dan bukan kerana orang lain. Iaitu bukan kerana dipaksa ibubapa, ustaz atau pun cikgu.

Kemudian, “الْفِتْيَةُ” pula bermaksud remaja yang berumur pada lingkungan 13 hingga 24 Tahun bukannya 55 hingga 63 Tahun. Disebabkan itu, fokus utama kempen ini adalah untuk memperkasakan iman generasi remaja supaya sentiasa taat kepada Allah. Serta supaya mereka dapat melakukan “أَحْسَنُ عَمَلًا” dengan sendirinya. Tetapi berapa ramai yang lulus? Sangat sedikit sekali.

Kalau tak percaya, anda semua boleh datang masjid dan lihat sendiri. Cuba kira siapakah yang lebih ramai memenuhkan masjid atau surau. Adakah golongan  bawah 40 tahun lebih ramai atau pun atas 40 tahun? Tepuk dada, tanya iman kita. Tetapi, kalau konsert yang melalaikan atau kempen bersukan senang sahaja mereka turut serta dan menyahut seruan kempen tersebut. Perkara ini sangatlah menyedihkan saya. Dimanakah remaja-ramja al-Kahfi di zaman kita?

Maksud “إِلَى الْكَهْفِ” pula, Prof Hasnan menjelaskan bahawa 7 remaja al-kahfi ini memilih untuk pergi ke gua dengan sendirinya demi menjadi akidah mereka. Tetapi di zaman kita pula sudah terbalik kerana ramai remaja yang berebut-rebut untuk pergi ke kawasan-kawasan bandar yang mampu merosakkan akidah mereka. Bahkan, Prof Hasnan memberi contoh, ada pelajar yang sebelum ini pakai tudung dengan elok tetapi selepas menyambung pelajaran ke luar negara, tudung terus hilang. Lebih teruk lagi, ada pelajar remaja yang join kelab atheis atau liberalism dengan alasan untuk mengelakkan diri daripada dikongkong keluarga dan agama. Ke mana pergi iman mereka ini?



Seterusnya, perkataan ” مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً”  pula menjelaskan, 7 remaja al-kahfi ini meninggalkan kawasan bandar lalu ke gua hanya untuk mencari rahmat Allah SWT. Dan ini yang sepatutnya kita mengajarkan kepada anak-anak kita semua. Ajar mereka kejar rahmat Allah sejak kecil lagi. Bukannya kejar duit, pangkat, harta, wanita atau pun kebebasana hidup di dunia. Jadikan misi utama dalam hidup mereka untuk mendapatkan rahmat Allah SWT.

Akhir sekali ayat “وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ” bermakna kita perlu memandu anak remaja kita ke arah rahmat Allah. Itulah tugas utama kita sebagai orang yang berilmu. Sebagai contoh, bawak anak-anak remaja anak ke masjid untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah maghrib. Biasakan mereka hidup dengan suasana ini. Juga, mintalah pertolongan Allah agar dimudahkan segala urusan kita dan supaya mereka sentiasa dibimbing di jalan yang lurus.

 

Dalil Keempat.

Dalil terakhir ini ialah tentang pengiktirafan Allah SWT akan keimanan 7 remaja ashabul kahfi dan bukti keimanan mereka yang ditunjukkan dengan baik sekali.

Firman Allah SWT:

 إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

sesungguhnya mereka itu remaja-remaja yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

(Al-Kahfi 18:13)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mengiktiraf 7 remaja al-kahfi ini sebagai orang yang beriman kepada Allah. Dan pengiktirafan ini adalah pengiktirafan yang paling tinggi boleh diterima oleh seseorang manusia. Rahsianya adalah remaja itu mestilah memilih untuk beriman kepada Allah dengan sendirinya tanpa paksaan dan hidup di jalan yang lurus.

Sekiranya keimanan seperti ini dapat dipupuk dalam diri remaja kita, nescaya hantarlah mereka belajar di mana-mana pun. Insya Allah iman mereka tidak akan goyah. Hal ini kerana, Allah SWT akan menjaga mereka sebagiamana Allah Ta’ala menjaga remaja al-Kahfi ini dengan  menambahkan hidayah dalam hati mereka.



Kesimpulannya.

Oleh itu, jom kita melahirkan generasi remaja yang mampu untuk memilih dengan sendirinya untuk melakukan  “أَحْسَنُ عَمَلًا”. Ia bermula dengan kita melatih mereka di usia yang muda. Selamat beramal semua dan semoga kita semua dapat menjaya kempen memperkasakan generasi remaja yang beriman dan bertakwa kepada Allah ini.

Wallahua`lam.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.