Kepentingan Bersangka Baik dan Cara Untuk Meraihnya

Bersangka-Buruk-Memecah-Belahkan-Masyarakat-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين،أَمَّا بَعْدُ

Segala Puji bagi Allah,Tuhan yang Maha Bijaksana,

Bab husnuzon atau bersangka baik ini merupakan di antara tajuk yang agak berat untuk penulis menulis, kerana penulis yang dhaif ini sering kali bersangka buruk. Tetapi, semoga dengan penulisan ini, ia menjadi peringatan kepada saya dan anda semua supaya agar kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menggelakkan diri daripada bersangka buruk.

Hal ini demikian kerana, amalan bersangka baik ini juga semakin pupus. Lebih-lebih lagi, hidup di akhir zaman ini di mana alat komunikasi digunakan sewenang-wenangnya untuk bersangka buruk. Contohnya seperti Facebook dan Whatsapp. Semuanya berada di hujung jari sahaja. Kini kita tidak perlu lagi berkata-kata atau bersusah-payah untuk menyebarkan sangkaan buruk kita kepada orang lain. Hanya perlu post dan tunggu ia menjadi tular sahaja.

Begitulah bahayanya dunia alam maya ini. Tempat dimana amalan jahat seperti bersangka buruk, fitnah dan mengumpat dipupuk dan disemai dengan mudah. Jika tidak dihindarkannya seawal mungkin, maka hancurlah dan semakin berpecah belahlah masyarakat kita. Tidak kira sama ada muslim atau tidak. Untuk mencegah ia daripada berlaku, cara terbaik adalah dengan mengamalkan sikap bersangka baik kepada orang lain dan jangan sesekali kita bersangka buruk kepada orang lain.

Nampak mudah tetapi sangat payah untuk dilakukan. Namun, ianya tidak mustahil. Untuk memudahkan kita semua mengamalkannya, mari kita bincangkan apakah itu bersangka buruk, dalil pengharamannya, cara mudah untuk bersangka baik dan beberapa tips untuk bersangka baik.

 

Apakah makna bersangka buruk?

Segala benda yang kita tidak pasti sama ada betul atau salah dan kebanyakannya berdasarkan anggaran kita sahaja.

 

Apakah dalil pengharaman sangka buruk?

Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

 (Al-Hujurat 49: 12)

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T. memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya menjauhkan diri daripada amalan bersangka buruk. Yang bermaksud,  Allah Ta’ala tak mahu kita mendekatkan diri daripada amalan jahat tersebut apatah lagi melakukannya. Dan cara yang terbaik untuk mengelakkan diri daripada bersangka jahat adalah dengan bertakwa kepada Allah. Seperti yang diterangkan pada akhir ayat di atas.

 

Kenapa haram bersangka buruk?

Yang pertama, sudah pasti kerana Allah memerintahkan kita sebagaimana pada dalil di atas. Dan yang kedua pula adalah kerana rahsia dalam hati manusia hanya Allah yang mengetahui. Jadi janganlah kita bersangka buruk kepada orang lain jika kita tidak pernah nampak dengan mata kasar kita sendiri. Tetapi, pada zaman fitnah sekarang ini, gambar dan video pun boleh di edit supaya nampak seperti kita yang melakukannya walaupun kita tidak melakukannya. Jadi, janganlah kita mudah terpedaya dan percaya dengan apa yang kita lihat di dalam social media sekarang ini.

 

Sangkaan buruk akan jadi haram apabila?

  1. Orang yang  di sangka buruk itu orang Islam.
  2. Sangkaan buruk itu bertapak dalam hati kita.
  3. Zahir dia orang baik.

 

Apakah cara terbaik untuk mengelakkan diri daripada bersangka buruk?

Iaitu dengan mempelajari dan memahami sifat-sifat Allah Yang Maha Agung. Namun, kebanyakan kita (para penuntut ilmu) hanya mempelajari sifat-sifat Allah dan tidak pernah untuk mempraktikkannya. Hal ini kerana, tidak kesemuanya memahami dengan betul-betul akan apa yang dipelajarinya. Kerana segala ilmu tentang sifat Allah tidak bertapak betul-betul di dalam hatinya.

Di samping itu, dalam konteks bersangka baik dan bersangka buruk pula, hanya dengan memahami betul-betul akan 3 sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla di bawah ini. Insya Allah akan memadai untuk kita takut dan sentiasa berjaga-jaga daripada melakukan dosa sperti bersangka buruk. Tiga sifat-sifat tersebut adalah:

  1. Allah Maha Melihat.
  2. Allah Maha Mendengar.
  3. Allah Maha Mengetahui.

Persoalannya, sejauh manakah kedudukan Allah di dalam hati kita? Kerana sekiranya kita sentiasa berasa seperti diperhatikan dan didengari Allah S.W.T, sudah pasti kita akan berasa malu untuk bersangka buruk atau melakukan dosa-dosa yang lain.

 

Apakah Tips untuk membantu kita bersangka baik?

1. Banyakkan berdoa kepada Allah.

Kerana kita hanya insan yang sangat lemah dan kerdil. Tidak mampu kita untuk melawan syaitan dan iblis yang sudah menipu dan menyesatkan manusia selama beribu-ribu tahun lamanya. Hanya dengan izin Allah, Insya Allah kita akan berjaya.

2. Kita letak diri kita seperti orang lain.

Bak kata orang putih, “You treat people like you want to be treated“. Yang bermaksud, jika kita mahu orang bersangka baik dengan kita, kita perlu bersangka baik dengan orang dahulu.

3. Ambil kata-kata orang itu dengan makna yang baik.

Jika, orang kata yang tidak baik kepada kita atau orang lain, pastikan kita sentiasa bersangka baik agar tidak tertipu dengan helah syaitan. Kerana sebaik sahaja, sangkaan buruk itu bertapak di dalam hati kita, pelbagai dosa akan dilakukan. Contohnya seperti mengumpat dan mengadu domba.

4. Mencari keuzuran supaya kita boleh memafkannya.

Iaitu dengan sentiasa berusaha mencari keuzuran terhadap orang yang kita mahu bersangka buruk. Mungkin dia ditimpa sesuatu musibah yang berat sehingga dia mudah terpengaruh dan sebagainya. Dan kalau boleh, maafkanlah mereka.

5. Jauhkan menjatuh hukum atas niat orang.

Iaitu dengan tidak menghukum orang sebaik sahaja menerima sesuatu informasi terkini. Kerana informasi terkini itu tidak semestinya betul.

6. Ingat keburukan sangka buruk.

Iaitu dengan memahami akan seksa yang dikenakan terhadap orang-orang yang bersangka buruk atau kesannya terhadap masyarakat.

 

Kesimpulan Bersangka Baik.

Akhir kata, selamat beramal semua dan semoga amalan bersangka baik ini dapat dipupuk dan disemai dalam masyarakat di Malaysia ini dengan jayanya. Insya Allah.

 

Rujukan:

Segala info dan isi-isi ini telah diambil daripada rujukan yang tertera di bawah. Dan jika anda mempunyai masa yang lapang dan ingin memahami kuliah tentang bersangka baik ini, pastikan anda mendengar syarahan Dr Abdul Basit sendiri. Link ada di sediakan di bawah.

  1. Kepentingan husnuzzan dan cara untuk meraihnya yang disampaikan oleh Al-Fadhil Dr Abdul Basit.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.