Kepentingan Khusyuk Dalam Solat

Kepentingan-Khusyuk-Dalam-Solat-Malaya-Journal

 

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين،أَمَّا بَعْدُ

Khusyuk dalam solat adalah antara perkara yang paling sukar untuk dilakukan bagi seseorang muslim. Lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini. Iaitu ketika dunia yang dipenuhi pelbagai nikmat yang melalaikan dan ia menyebabkan kita sangat mudah untuk melakukan maksiat atau terdedah dengan maksiat.  Di mana-mana sahaja kita pergi, pasti maksiat akan juga berada di situ. Contohnya, lelaki yang keluar berjalan-jalan dengan memakai seluar pendek atau wanita yang tidak bertudung menayangkan auratnya tanpa ada perasaan malu kepada Allah S.W.T.

Disebabkan itu, tajuk penulisan saya pada kali ini adalah berkenaan khusyuk dalam solat kerana maksiat adalah di antara punca kita kehilangan khusyuk dalam solat. Dan saya telah membahagikan kepada lima bahagian. Iaitu apa makna khusyuk dalam solat, kelebihannya, objektifnya, cara mendapatkannya dan punca kehilangan khusyuk.

Sebelum saya bermula, penulisan ini adalah sebagai peringatan kepada kita semua terutama penulis yang dhaif ini supaya sentiasa berusaha mencapai darjat khusyuk dalam solat. Supaya dengan itu, kita tidak akan terkena azab seksa Allah di dunia dan di akhirat. Aamin. InsyaAllah.

 

Apa makna Khusyuk dalam Solat?

Makna khusyuk dalam solat adalah hati kita sentiasa dalam keadaan sedar dan ingat akan segala bacaan, zikir-zikir dan doa-doa yang diulangi oleh lidah di samping memahami maknanya serta merasakan dirinya sedang bermunajat dengan Allah S.W.T.

Yang bermaksud, jika kita sedang bersolat, pastikan diri kita boleh menjiwai apa yang kita baca ketika solat dan ketahuilah bahawa kita sedang berhadapan dengan Allah Azza Wa Jalla. Untuk memudahkan cerita, khusyuk dalam solat itu adalah apabila kita yang sedang berzikir dan berdoa ketika solat itu, turut disertai dengan mulut dan hati bersama-sama. Bukan hanya bacaan semata-mata sedangkan hati sedang berada di tempat lain.

Sebagai contoh, bacaan kita adalah surah al-Fatihah manakala hati kita pula berada di padang bola. Itulah antara perkara yang pernah berlaku kepada penulis sendiri. Dan ini adalah tanda utama kita tidak khusyuk dalam solat. Iaitu, bacaan ke arah lain dan hati pula ke arah lain.

Juga, dalam syarahan daripada Dr Abdul Basit, beliau menjelaskan semasa kita sedang bersolat, jika tidak mampu khusyuk secara keseluruhannya di dalam solat, pastikan kita mengetahui juzu’-juzu’ yang sedang dilakukan anda semasa solat. Sebagai contoh, anda perlu mengetahui sama ada anda sedang sujud, rukuk atau rakaat keberapa. Tetapi berapa ramaikah daripada kalangan kita (termasuk penulis) yang sering terlupa rakaatnya ketika bersolat? Terlampau banyak sekali. Ini merupakan bukti paling kukuh yang solat kita masih belum sempurna. Astaghfirullah hal adzim.

Tambahan pula, menurut alim ulama’ jika kita tidak ingat langsung apa-apa tentang solat itu, maka solatnya itu telah terbatal. Jadi, anda mesti ingat segala perbuatan yang anda lakukan ketika bersolat. Insya Allah kita boleh melakukannya. Sheikh Said Ibnu Musayyid pernah berpesan kepada anak muridnya;

“Andai hati pemuda ini khusyuk dalam solat, nescaya seluruh anggota dia akan khusyuk”.

 

Kelebihan Khusyuk dalam Solat

1.  Khusyu’ dalam solat sepanjang solat itu merupakan satu sunnah dan merupakan nikmat yang paling besar yang menyempurnakan solat seseorang Muslim. Jadi tidak hairanlah, jika ada para sahabat pada zaman Rasulullah S.A.W.  yang tidak sedar langsung akan apa yang berlaku diluar solatnya kerana terlalu khusyuk. Itu kesempurnaan solat yang sebenar.

2. Khusyuk dalam solat itu menghapuskan (kafarah) dosa. Jadi, setiap kali anda solat dengan khusyuk, setiap itulah dosa anda akan terhapus. Begitulah Maha Pemurah-Nya Allah S.W.T. itu.  Tetapi, bukanlah semua dosa anda akan dihapuskan. Sebaliknya, dosa yang dihapuskan hanyalah dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Kerana dosa besar itu hanya akan dihapuskan dengan taubat nasuha.

3. Khusyuk adalah roh atau jiwa kepada solat. Kerana solat tanpa dijiwai hanya melepaskan wajib yang lima itu sahaja. Disebabkan itu, kebanyakan kita hanya dapatkan penat lelah dan yang paling teruk solat kita tidak dapat mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:

“dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

(Al-‘Ankabut 29: 45)

 

Objektif Khusyuk Solat.

Menunaikan solat fardhu yang lima adalah wajib bagi setiap orang Muslim dan di antara tujuan solat adalah untuk mengingatkan kita sebagai seorang hamba kepada Tuhan Sekelian Alam.

Sebagaimana Firman Allah:

“Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu”

(Surah Thaha 10: 14)

 

Cara Mendapatkan Khusyuk

1. Ingatlah bahawa kita datang ke dunia dengan sebab ihsan, belas kasihan dan rahmat daripada Allah Azza Wa Jalla.  Jadi kita sepatutnya hidup untuk beribadah kepada-Nya dengan selalu mengingati-Nya, menjadi hamba kepada-Nya dan untuk masuk ke syurga-Nya.

2. Ingat, bahawa lahirnya kita ke dunia adalah untuk beribadah kepada Allah Ta’ala. Firman Allah Ta’ala:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”

(Adz-Dzaariyat 51: 56).

3. Segala arahan dan larangan Allah yang dipertanggungjawab kepada kita akan disemak.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

(Az-Zalzalah 99 : 7-8)

4. Memahami makna bacaan. Di sini, Dr Abdul Basit ada memberi cadangan untuk kita menghafal atau mentadabbur makna dan maksud bermula surah Ad-Dhuha sehingga An-Nas. Kerana surah-surah tersebut adalah surah yang paling banyak dibaca oleh kita semasa bersolat.

5. Merasakan keagungan Allah Ta’ala dan kita pula hanya hamba kepada-Nya. Jangan pernah berasa sombong atau hebat jika kita diberikan rezeki yang banyak oleh Allah. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memandang kekayaan sebagai ukuran tetapi yang menjadi ukuran adalah keimanan hamba-Nya.

6. Rasa gerun dengan Allah. Kerana kita akan dihisab akan segala amalan yang kita lakukan pada Hari Kiamat nanti. Iaitu hari di mana tiada naungan selain daripada Dia.

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

“Yang Menguasai hari Pembalasan (hari Akhirat).”

(Al-Fatihah 1: 4)

7. Sentiasa mengharapkan keampunan Allah.

8. Sentiasa berasa malu di atas kecuaian kita . Kerana nikmat yang diberikan Allah terlampau banyak sedangkan amal ibadah kita sangatlah sedikit. Tanpa Rahmat-Nya mana mungkin kita akan masuk ke syurga-Nya.

 

Punca Hilang Khusyuk dalam Solat.

Sebenarnya terdapat banyak lagi punca kehilangan khusyuk seseorang hamba itu. Tetapi disebabkan ilmu yang cetek ini, penulis hanya dapat menjelaskan tiga punca sahaja.

1. Kerosakan dalam aqidah dan kepercayaan.

Dan ini adalah punca utama mengapa Allah S.W.T. tidak memberikan nikmat khusyuk kepada orang-orang yang seperti ini. Iaitu mereka yang solat hanya betul daripada sudut feqah tetapi tidak pada mentauhidkan dan adab terhadap Allah S.W.T.

Mereka inilah yang bersolat tetapi masih mempercayai kepercayaan khurafat yang karut-marut. Seperti percaya kepada:

  • Ahli nujum atau bomoh.
  • Ramalan masa hadapan.
  • Tangkal azimat.
  • Mempercayai benda-benda sial seperti kucing hitam dan sebagainya.

2. Makan dan minum daripada harta haram.

Dan ini menyebabkan hati pelaku menjadi keras, gelap dan hitam. Orang-orang yang seperti ini, mereka langsung tidak akan diberikan khusyuk dalam solatnya. Contohnya, mereka yang seperti ini masih bersolat tetapi masih juga mengamalkan sistem riba’ dan rasuah tanpa berasa segan dan takut kepada Allah.

3. Melakukan dosa terhadap manusia.

Seperti mengumpat, fitnah, membuka aib orang, bersangka buruk dan mengadu domba. Kesemua ini adalah perkara yang ditegah didalam agama Islam secara terang-terangan dan termaktub di dalam Al-Quran. Tetapi mengapa masih ramai daripada kalangan kita yang masih melakukannya?  Padahal inilah punca yang dilakukan oleh kita tanpa kita sedari. Astaghfirullah hal adzim.

 

Rumusan.

Khusyuk dalam solat merupakan tajuk yang berat untuk saya tulis kerana penulis juga masih tidak mencapai darjat khusyuk di dalam solat. Tetapi apa salahnya kerana dengan mengongsikan ilmu ini, ia akan mengingatkan saya akan kepentingan khusyuk dalam solat ini. Semoga dengan penulisan yang pendek ini, kita semua akan berusaha mencapai darjat khusyuk dalam solat sebagaimana para rasul, nabi dan sahabat bersolat. Insya Allah.

Wallahu ‘alam.

Nota Kaki:

Segala isi-isi di dalam penulisan ini telah diambil daripada kuliah yang disampaikan oleh Dr Abdul Basit.

Comments

comments

Related Post

Ibadah Qurban Adalah Ibadah Yang Sangat Mulia. https://www.youtube.com/watch?v=eqsezkf36lk   Penjelasan saya tentang ibadah qurban adalah berdasarkan video tentang ibadah qurban daripada...
Apa Itu Ibadah kerana ALLAH di dalam Setiap Perkar... Kadang-kadang seorang muslim sering terlupa dan terpedaya dengan apa yang mereka sedang lakukan, termasuklah saya juga. Contohnya, sebarang pekerjaan ...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.