Saad Bin Abi Waqqas – Panglima Islam Yang Menakluk Parsi

Saad-Bin-Abi-Waqqas-Malaya-Journal

Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda selepasnya.

Sahabat kedua yang kita akan bincang adalah tentang pemuda Islam yang sangat kuat keyakinannya terhadap janji Allah dan Rasul. Sehingga dengan keyakinan yang kuat itu, beliau mampu menakluk Parsi yang kuat dan berpengaruh itu  hanya dengan 30,000 tentera Islam sahaja. Nama beliau adalah Saad Bin Abi Waqqas R.a.

Padahal tentera Parsi mempunyai tentera seramai 240,000 orang dan kesemua tentera itu dilatih sejak muda lagi untuk berperang. Tentera Parsi ini sangat kuat tetapi masih dapat dikalahkan dan Hadith Rasulullah SAW telah berjaya dibuktikan dengan takluknya Parsi di tangan Saad Bin Abi Waqqas R.a.

Program Ekspansi Dakwah Islam ini telah dilakukan oleh Khalifah Yang Ke-2 iaitu Saidinar Umar Al-Khattab dan Saad Bin Abi Waqqas R.a telah dipilih untuk menjadi panglima tenteranya. Justeru, hari ini kita lihat apakah kelebihan Saad ini sehingga diberikan kelebihan yang sangat besar oleh Allah.

 

Biodata Saad Bin Abi Waqqas:

Nama: Saad Ibnu Malik Az Zuhri.

Gelaran: Saad Bin Abi Waqqas.

Suku: Suku Zuhri

Umur ketika masuk Islam: 17 Tahun.

Hubungan Dengan Rasulullah SAW: Pak Cik  kepada Baginda SAW.



Kisah Keislaman Saad Bin Abi Waqqas.

Pada suatu malam beliau telah bermimpi dirinya lemas dalam lautan kegelapan yang amat tebal. Ketika beliau cuba berenang menyelamatkan diri, beliau ternampak cahaya bulan menyinar. Beliau mengikut cahaya tersebut dan melihat terdapat tiga orang lelaki, terlebih dahulu mendahuluinya mengikut cahaya itu. Orang itu adalah Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib dan Abu Bakar As-Siddiq.

Sebaik sahaja Saad terjaga dari tidur dan hari bertukar siang, beliau menerima berita bahawa Nabi Muhammad SAW telah membawa agama baharu secara rahsia. Tanpa berlengah beliau pergi mencari Nabi Muhammad SAW sehingga berjumpa di lorong ‘Jiyad’. Ketika itu Baginda SAW sedang menunaikan solat Asar.

Saad memberi salam. Lalu keluar beberapa orang kepadanya. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati yang datang itu adalah tiga orang yang dilihat di dalam mimpi tersebut! Setelah mendengar sedikit penjelasan, beliau terus meyakini itulah agama sebenar yang selama ini telah dinanti-dinantikannya dan dia terus memeluk Islam.

Tetapi, malangnya, keislaman Saad tidak menggembirakan ibunya sendiri. Bahkan ibunya menjadi begitu marah dengan Saad sehingga berkata:

Wahai Saad! Agama apa yang kau anuti ini sehingga kau sanggup tinggalkan agama ibu dan bapamu?! Aku bersumpah kalau kau tidak meninggalkan agama itu, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati! Biar kau rasa bersalah seumur hidupmu. Biar kau menyesal. Biar orang mencerca perbuatanmu selama-lamanya

Saad Bin Abi Waqqas pula menjawab:

“Jangan begitu ibu. Aku tidak akan meninggalkan agama ini walau apapun..” Rayu si anak kesedihan.

Tetapi ibunya tetap dengan sumpahnya. Dia langsung tidak makan dan minum sehingga lemah tubuh badannya dan kurus kering badannya. Dan Saad pula tidak jemu pergi kepada ibunya dengan menyediakan makanan. Beliau terus merayu dan berusaha memujuk si ibu menjamah sedikit makanan atau minuman. Beliau sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang soleh walaupun si ibu berkeras dengan kekufuran dan membenci perbuatannya.

Akhirnya satu hari Saad berkata pada ibunya:

“Wahai Ibu. Sungguh aku kasih padamu, dan aku juga kasih pada Allah dan Rasul. Ketahuilah, sekalipun tuhan memberikan kamu 1000 nyawa, dan nyawa itu melayang satu demi satu, aku tetap tidak akan berganjak dari agamaku..”

Setelah melihat ketegasan Saad, si ibu akur dan mengalah. Akhirnya dia menjamah juga makanan dan minuman yang disediakan.

Ketika itu turunlah ayat daripada Allah SWT selepas peristiwa Saad bersama ibunya ini:

A008

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

(Al-‘Ankabuut 29:8)

Begitulah kisah pengIslaman Saad Bin Abi Waqqas. Dan kalau anda semua hendak tahu, ketika dia diuji oleh ibunya itu, beliau berumur 17 tahun sahaja. Sangatlah muda usianya.

 

Peribadi Saad Bin Abi Waqqas r.a:

1. Saad tanamkan pengenalan terhadap Tuhan Yang Maha Segala Sesuatu.

Akibatnya, Saad R.a tidak pernah takut dan tunduk kecuali kepada Allah SWT. Beliau berpegang pada keyakinan ini sehingga semangat kesatriaan telah keluar membuak-buak di medan perang. Malah, setiap peperangan bersama Rasulullah SAW tidak pernah dia melepaskannya.

2. Kesedaran akan Akhirat tempat kembali.

Disebabkan hal di atas, Saad R.a tidak pernah takut untuk mati syahid di medan perang. Kerana keyakinannya telah diabadikan bahawa Tuhan Semesta Alam hanyalah Allah SWT, dan segala janji-janji Allah Ta’ala itu benar dan sesungguhnya hanya Akhirat (syurga) tempat kita kembali.



Kelebihan Saad Bin Abi Waqqas.

1. Termasuk 10 orang pertama masuk Islam di Makkah.

Saad adalah orang ke-4 yang memeluk Islam di Makkah. Beliau memeluk Islam ketika umurnya baru sahaja mencecah  17 tahun.

 

2. Termasuk dalam 10 sahabat orang dijamin Syurga.

Diantara 10 sahabat yang dijamin Syurga yang pernah saya tulis adalah Abdurrahman Bin Auf R.a.

 

3. Wahyu diturunkan disebabkan peristiwa Saad yang menolak untuk kembali kepada ajaran asal ibunya.

Kisahnya yang telah anda semua baca di atas tadi.

 

4. Mempunyai hubungan persaudaraan dengan Nabi Muhammad SAW.

Dua Pupu Baginda.

 

5. Beliau pernah mendapatkan doa yang mulia daripada Nabi Muhammad SAW.

Semasa perang Badar, Saad berdoa ketika hendak memanah ke arah musuh agar goncangkan hati musuh supaya takut. Ketika itu, Nabi SAW mendengar doa beliau dan Baginda SAW pula berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tepatkanlah panahannya, dan perkenanlah doanya.”

 

6. Beliau pernah menjadi penjaga Nabi SAW.

Pernah suatu hari Nabi SAW berasa tidak tenteram ketika hendak tidur, kemudian tiba-tiba Saad Bin Abi Waqqas kebtulan lalu dihadapan rumah Baginda dan berhenti untuk menjaga BAginda sepanjang malam.

 

7. Saad menghadiri setiap peperangan bersama Rasulullah SAW.

Dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai peperangan memanah orang-orang kafir musyrik di jalan Allah SWT bersama-sama Baginda.

 

8. Seorang ahli panah yang sangat hebat.

Panahnya tidak pernah tersasar dan mampu memanah menggunakan tiga anak panah dalam sekali tarik dengan tiga sasaran yang berbeza.

 

9. Pernah melihat Malaikat di perang Uhud.

Menurut ulama’, malaikat tersebut adalah malaikat Jibril dan Mikail yang melindungi Rasulullah SAW semasa peprangan berlaku.

 

10. Pahlawan Islam yang mengetuai tentera menakluk Persia.

Beliau merupakan panglima perang yang dihantarkan oleh Saidinar Umar Al-Khattab untuk menakluk Parsi dan berjaya memenangi peperangan tersebut dalam lebih kurang 4 bulan lebih.

 

11. Termasuk dalam majlis syura.

Iaitu majlis untuk memilih khalifah yang seterusnya selepas Saidinar Umar Al-Khattab. Majlis itu hanya disertai oleh enam orang sahabat sahaja  dan kesemua sahabat itu dipilih oleh Saidinar Umar sendiri. Dengan erti kata lain, beliau merupakan di antara calon untuk menjadi khalifah.

 

12. Menghindari semua fitnah.

Beliau tidak turut serta dalam perang siffin dan perang jamal iatu perang yang berlaku disebabkan khilaf orang-orang Muslim. Malah,beliau memilih untuk mengembala kambing ketika fitnah sedang berleluasa.

 

13. Doanya sentiasa dimakbulkan Allah SWT.

Hal ini disebabkan doa Nabi Muhammad SAW semasa perang Badar yang telah saya ceritak di atas. Sejak doa Nabi Muhammad SAW itu, doanya tidak pernah tidak dimakbulkan. Sehingga di akhir kematiannya, orang-orang Islam datang berpusu-pusu untuk meminta mendoakan mereka semua dan beliau tidak pernah menolaknya. Untuk mendengar lebih banyak kisah tentang mustajabnya doa Saad Bin Abi Waqqa ini, adalah boleh mendengar kajian tentang Saad ini di link di bawah:

Kisah Sahabat Nabi saw Ke-8: Saad bin Abi Waqash RA

 

Pengajaran Kisah Saad Bin Abi Waqqas.

1. Keyakinan adalah asas bagi seorang Muslim.

Puncak keyakinan adalah yakin pada Allah, yakin pada janji-janjiNya dan jadikan janji-janji Allah itu sebagai panduan hidup. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saad Bin Abi Waqqas R.a, beliau tidak pernah ragu-ragu dengan kewujudan Syurga dan Neraka sebagaimana orang-orang munafik yang sentiasa ragu-ragu.

2. Berpegang pada kebenaran, dan berdiri di atasnya adalah kenderaan seorang Muslim.

Jadikan kebenaran kenderaan bagi kita sehingga kita sanggup melakukan apa sahaja untuk Islam. Muda atau tua bukan alasannya. Jika ada wang, sedekahlah. Jika ada tenaga bebaktilah kepada ibubapa dan orang ramai. Dan jika ada ilmu, maka ajrilah atau berdakwahlah kerana Allah SWT.

3. Kemenangan diberi oleh Allah SWT bukan kerana jumlah dan kekuatan tentera.

Tetapi ada syaratnya. Iaitu selagi dosa dan maksiat tidak dilakukan oleh tentera-tentera Islam. Kerana kalau nak bezakan tentera orang kafir dan orang Islam hanyalah ketakwaan kita kepada Allah SWT. Kalau nak banding senjata siapa lagi hebat, sejak dahulu lagi tentera-tentera kafir lebih canggih senjata dan teknologinya. Ingat, sesungguhnya Allah SWT hanya bersama orang-orang yang bertakwa.



 

Kesimpulannya, marilah kita jadikan pengajaran kisah sahabat Saad Bin Abi Waqqas R.a ini sebagai panduan orang-orang yang beriman. Lebih-lebih lagi kepada para pemuda Islam. Kerana pemuda Islam sekarang inilah yang akan menjadi warisan agama Islam dan mereka inilah yang akan melawan dajjal laknatullah nanti. Jika persiapan pun ala kadar sahaja dan keyakinan pulak masih lemah, maka habislah para pemuda Islam ini.

Justeru, marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dan saya seru kepada semua pemuda Islam di Malaysia agar melakukan tiga perkara di bawah sebagai bukti ketakwaan kita:

  1. Solat berjemaah di masjid terutamanya Solat Subuh dan Solat Isyak. Kerana kekuatan Islam terletak di jemaahnya.
  2. Hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu di masjid atau surau.
  3. Baca al-Quran satu juzuk satu hari.

Peringatan ini kepada saya terutamanya. Marilah kita sama-sama melakukannya kerana Allah SWT. Insya Allah.

Wallahua`lam.

Comments

comments

Related Post

Sebab Musabab Sahabat Nabi Menjadi Luar Biasa ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Masa Itu Ciptaan Allah Yang Sangat Ajaib ﷽ Segala Puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana, Pada malam 9 Muharram 1439 Hijrah, Kuliah Maghrib istimewa pada kali ini telah disampaikan ol...
Mus’ab Bin Umair – Pendakwah Terawal I... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
Talhah bin Ubaidillah – Syahid Yang Berjalan... ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.