Solat Sunat Rawatib

Solat-Sunat-Rawatib-Pelengkap-Yang-Lima-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Solat Sunat rawatib adalah di antara solat sunat yang sangat selalu dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sendiri. Jadi, kita sebagai pengikutnya marilah kita sama-sama melakukannya sebaik mungkin. Tetapi bagaimanakah caranya? Sebenarnya caranya amat mudah sekali, kerana kita hanya cuma perlu solat sunat dua rakaat sebelum atau selepas solat fardhu yang lima itu.

Disebabkan itu, solat sunat rawatib ini terbahagi kepada dua iaitu;

  1. Solat sunat Qabliyah. (dilakukan sebelum solat fardhu).
  2. Solat Sunat Ba’diyyah (dilakukan selepas solat fardhu).

 

Apakah Dalil Yang Disyariatkan bagi Solat Sunat Rawatib ini?

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai keutamaan Solat Sunat Rawatib. Jumlah yang mu’akkad (dituntut) ialah 10 raka’at atau 12 raka’at, dalilnya adalah seperti di bawah:

Dalil Solat Sunat Rawatib (bagi 12 rakaat):

Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.

(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 380)

Dalil Solat Sunat Rawatib (bagi 10 rakaat):

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh pula menunjukkan jumlah rakaat solat Rawatib adalah sepuluh. Dia berkata:

Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.

 (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180)

Berdasarkan kedua-dua hadith di atas, kedua-duanya adalah shahih tetapi saya lebih cenderung kepada solat sunat rawatib itu sebanyak 12 rakaat kerana itulah yang pelajari bersama ustaz saya semasa berkuliah. Tetapi jika kekurangan masa dan kebiasaannya, saya hanya membuat 10 rakaat sahaja. Mungkin inilah kekurangan penulis ini. Namun, kalau boleh, saya menyeru diri saya sendiri dan anda semua agar melakukan solat sunat rawatib sebanyak 12 rakaat kerana itulah yang lebih baik.

 

Apakah Solat sunat Rawatib (12 Rakaat) yang Mu’akkad?

  1. Subuh : 2 rakaat sebelum solat Subuh.
  2. Zohor : 4 rakaat sebelum dan 2 selepas solat zohor.
  3. Asar : Tiada.
  4. Maghrib : 2 rakaat selepas solat maghrib.
  5. Isyak : 2 rakaat selepas solat isyak.

 

Apakah tatacara untuk melakukan solat Sunat Rawatib?

1. Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib ini sama seperti dengan cara mengerjakan solat Subuh atau solat-solat sunat dua rakaat. Cuma yang membezakan di antara solat-solat ini hanya pada niatnya. Sebagai contoh, ketika hendak melakukan Solat Sunat Rawatib Zuhur, anda perlu berniat dengan betul sama ada mengerjakan solat sunat rawatib Qabliyyah atau Ba’diyyah. Dan satu lagi informasi penting, solat sunat rawatib ini dikerjakan dengan cara individu bukannya berjemaah.

 

2. Niat Solat Sunat Rawatib.

a.  Solat Sunat Rawatib Qabliyyah (sebelum).

Sahaja aku solat sunat sebelum (Zuhur / Asar / Isyak / Subuh) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.

 

b.  Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah (selepas).

Sahaja aku solat sunat selepas (Zuhur / Maghrib / Isyak) dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.

 

Bolehkah kita Qada Solat Sunat Rawatib ini?

Jawapannya boleh. Hal ini kerana terdapat hadith yang mengatakan Baginda SAW sendiri mengqadakkannya. Hadith tersebut seperti di bawah:

Daripada Aisyah r.a.; “Bahawa jika Rasulullah SAW tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda SAW melakukannya selepas Zuhur.”

 (Hadis riwayat Tirmizi r.a.)

Daripada Kitab ‘Mughni al-Muhtaj’ juga“Seandainya terluput akan solat sunat yang berwaktu, disunatkan mengqadakannya.”  Maka ini bermakna solat sunat yang berwaktu boleh diqadakan sama seperti solat fardu. Contohnya seperti solat sunat dhuha dan solat sunat tahajud.

 

Perlukah kita menjaga Solat Sunat Rawatib ini?

Jawapannya sudah tentu perlu dijaga. Hal ini kerana, Nabi Muhammad S.A.W. sangatlah mementingkannya dan menjaga solat-solat sunat kerana dengan solat sunat inilah ia dapat menampung kekurangan solat fardhu kita itu. Terutamanya solat sunat yang mu’akkad (dituntut). Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W:

 “Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia.”

 (Hadis riwayat Muslim)

Jadi, marilah kita sama-sama menjaga solat sunat ini sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W.

 

Bilakah Waktu Solat Sunat Rawatib?

Masuknya waktu solat rawatib ini adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah masuknya waktu solat selepasnya. Yang bermaksud, selagi mana waktu solat itu masih panjang, anda bolehlah melakukan solat sunat rawatib ini mengikut penerangan hadith di atas.

 

Adakah perlu beralih tempat daripada tempat solat fardu untuk melakukan solat sunat rawatib?

Jawapannya sunat untuk beralih tempat berdasarkan hadith di bawah:

 “Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat (nafilah) sehingga engkau berkata-kata (dengan seseorang) atau engkau keluar, kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.”

Riwayat Muslim (883)

Untuk lebih memahami syarah hadith di atas, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (6/171) telah berkata:

“Ini adalah dalil pada mana disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan solat sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain, dan yang paling afdhal ialah beralih menunaikan solat di rumah. Dan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat.”

 Imam al-Nawawi juga menyebut dibolehkan dengan hanya berbicara, kerana ia menunjukkan pemisahan antara kedua-dua solat fardu dan sunat, akan tetapi beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdhal sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini. Semoga dengan pencerahan, penerangan dan perkongsian ini, anda semua dan saya akan betambah amal ibadah sunat kita. Insya Allah.

Wallahu A’lam.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.