Solat Sunat Witir

Jangan-Tinggalkan-Solat-Sunat-Witir

Apa itu Solat Sunat Witir?

Pertama sekali, maksud witir sendiri bererti ganjil. Kedua, solat sunat witir boleh dilakukan sebanyak 1,3,5,7,9 dan paling banyak 11 rakaat.

 

Apakah Hukum Solat Sunat Witir?

Hukum solat sunat witir adalah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut untuk kita melakukannya. Samalah seperti solat sunat aidilfitri. Cuma yang membezakan antara solat witir dan solat sunat raya adalah, solat witir dituntut untuk dilakukan pada setiap hari di waktu malam.

 

Bilakah Waktu Mengerjakan Solat Sunat Witir?

Waktunya bermula pada selepas solat fardhu Isyak hingga terbit fajar. Waktunya lebih kurang seperti solat sunat tahajud dan yang membezakan hanyalah anda tidak perlu tidur dahulu untuk melakukan solat witir ini.

 

Berapakah Jumlah rakaat Solat Sunat Witir?

Jumlah rakaat sekurang-kurangnya satu rakaat, tetapi yang lebih akmal (sempurna) ialah tiga rakaat. Jika anda masih rajin, anda boleh menambah solat witir menjadi 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakkat atau paling banyak 11 rakaat. Ia dilakukan dua-dua rakaat dan diakhiri dengan 1 rakaat, atau berakhir dengan 3 rakaat (1 tahiyyat 1 salam).

 

Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir?

1. Lafaz Niat Solat Witir.

Jika anda hendak melakukan tiga rakaat dengan dua salam, boleh berniat seperti di bawah ini:

niat-solat-sunat-witir-Malaya-Journal

Sesudah salam pertama, anda terus berdiri untuk mengerjakan satu lagi rakaat Witir. Kemudian selepas salam kedua, selesai sudah solat witir anda.

Namun, jika anda hendak melakukan solat sunat witir tiga rakaat dengan satu salam, anda boleh berniat seperti di bawah:

niat-solat-witir-malaya-journal

Tetapi adalah yang lebih afdhal jika anda melakukan solat witir tiga rakaat dengan dua salam.

2. Bacaan surah selepas al-Fatihah, digalakkan membaca surah ini:

  • Rakaat pertama, bacalah surah al-A’la.
  • Rakaat kedua, baca surah Al-Kafirun.
  • Rakaat Ketiga, bacalah surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

3. Doa Selepas Solat Witir.

Image result for doa selepas solat witir

 

Bolehkah anda membaca doa Qunut ketika solat sunat witir?

Sudah tentu boleh. Kerana sunat membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat sunat witir terutamanya pada 15 malam terakhir di bulan Ramadhan. Dan jika pada bulan Ramadhan lakukanlah secara berjemaah selepas solat sunat tarawih. Pada bulan lain tidak disunatkan dilakukan secara berjemaah.

 

Solat Witir di awal malam atau di akhir malam?

Sebaik-baiknya solat sunat witir dilakukan di akhir malam semasa anda berqiamulullail. Iaitu dikerjakan akhir sekali daripada solat-solat pada malam hari. Tetapi, jika anda tidak mampu atau tidak yakin anda akan mampu bangkit berqiamullail, tunaikanlah solat sunat witir sebelum anda tidur.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda sudah mengerjakan solat witir sebelum tidur dan pukul 5 pagi anda bangun untuk berqiamullail, anda tidak perlu mengulangi solat witir sekali lagi kerana diterangkan dalam sebuah hadith:

“Tiada dua Witir (dikerjakan) dalam satu malam”

(Riwayat Abu Dawud,Nasa’i dan Tirmizi)

Apakah Kelebihan Solat Sunat Witir?

1. Solat Witir adalah penutup solat.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.” 

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah)

2. Solat Witir sangat disukai Allah S.W.T.

Sayidina Ali r.a berkata: Solat Witir itu bukannya wajib tetapi Rasulullah S.A.W. mengerjakan solat itu dan bersabda:

“Sesungguhnya Alllah Ta’ala itu ganjil, Dia suka kepada yang ganjil. Maka kerjakanlah solat Witir, wahai ahli Al-Quran.”

(Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)

 

Kesimpulannya.

Sebagai tanda bersyukur kita terhadap Allah Ta’ala, marilah kita sama-sama mengerjakan solat sunat witir ini kerana manfaatnya sangatlah besar. Peringatan ini adalah kepada anda dan saya juga supaya jangan malas melakukan solat witir. Apatah lagi, Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pun sangat menggalakkan kita melakukannya dan Allah Ta’ala juga sangat menyukainya. Berhentilah memberi macam-macam alasan untuk tidak mengerjakan solat witir ini. Semoga kita mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W. dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. jika kita melakukannya. Aamin.

Comments

comments




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.