Wahai Orang yang Beriman, Bersabar Dan Solatlah

Bertakwalah-kamu-dengan-Sabar-dan-Solat-Malaya-Journal

الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,

Bersabar dan solat merupakan di antara senjata utama bagi seorang muslim. Lebih-lebih lagi jika seorang muslim itu ditimpa ujian atau pun musibah. Tetapi, apakah cara terbaik untuk menghadapi ujian atau musibah tersebut? Jangan risau, kerana saya akan terangkan kepada anda sebentar sahaja lagi.

Sebelum masuk kepada tajuk di atas, saya akan terangkan dahulu apa yang dimaksudkan dengan ujian dan bersabar kerana masih ramai lagi yang terkeliru akan maksudnya yang sebenar. Maksud ujian yang sebenar adalah segala perkara yang menyempitkan hati manusia tersebut. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau besar. Jika perkara tersebut menyebabkan hati anda terasa berat dan sempit, itulah yang dimaksudkan dengan ujian. Manakala, bersabar pula bermaksud kematangan akal dan hati yang menyakini bahawa sesuatu perkara yang berlaku ada hikmahnya.

Dan untuk memudahkan anda semua untuk memahami tajuk ini, saya akan membahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama adalah manusia dan ujian hidup. Bahagian kedua pula adalah kenapa Allah S.W.T. menguji hamba-Nya dan bahagian ketiga adalah tentang cara untuk keluar daripada ujian iaitu dengan bersabar dan solat. Insya Allah. Semoga dipermudahkan kesemuanya.

 

Bab 1: Manusia dan Ujian Hidup.

Setelah anda sudah memahami maksud ujian di atas, saya mahu bertanya kepada anda semua akan satu soalan. Adakah manusia boleh mengelakkan diri daripada ditimpa ujian? Tetapi disebabkan saya tidak dapat mendengar anda semua memberi jawapan. Saya sendiri akan menjawab soalan ini. Dan jawapannya sudah tentu tidak boleh kerana telah dibuktikan dalam firman Allah S.W.T. di bawah:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”

(Al-Baqarah 2: 155-157)

Jadi, selagi kita masih hidup, selagi itulah ujian akan terus menimpa kita. Kerana hanya orang sudah mati sahaja yang tidak akan ditimpa musibah. Selain itu, tiga perkara yang kita tidak akan dapat lari daripadanya semasa hidup adalah:

  1. Ujian atau musibah hidup.
  2. Rezeki.
  3. Mati.

Tambahan pula, Ustaz Mohd Abdullah Al Amin telah menjelaskan kepada saya bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. menghantar dua perkara di bawah untuk merapatkan hubungan hamba-Nya dengan Dia. Dan dua perkara tersebut adalah:

  • Ujian.
  • Hajat.

Sebagai contoh, bagi seorang yang beriman kepada Allah, apabila dia menghendaki sesuatu hajat, kita akan melakukan amal-amal tambahan yang sunat seperti solat hajat dan solat dhuha supaya Allah memakbulkan doanya. Mengapa begitu? Hal ini kerana, kita sedar dan faham bahawa hanya dengan mendekatkan diri kepada Allah, barulah hajat kita akan dimakbulkan. Secara tidak langsung, hajat seseorang hamba itu akan menyebabkan dia semakin hampir kepada Allah tanpa dia sedari.

Tetapi malangnya, bukanlah semua orang yang beriman sebegitu rupa. Ada juga orang yang beriman ketika ditimpa ujian atau menginginkan sesuatu tetapi semakin jauh daripada Allah Ta’ala. Sebagai contoh, orang-orang yang beriman itu meminta bantuan daripada bomoh atau ahli sihit untuk menyihatkan dia atau kekal muda dan seumpamanya.

Untuk mengelakkanya perkara-perkara syirik ini daripada berlaku kepada kita, kita mestilah faham, bahawa kita tidak akan terlepas daripada ditimpa ujian sama ada orang kafir atau islam, kaya atau miskin, muda atau tua. Semuanya akan ditimpa ujian. Tetapi jangan khuatir kerana kesemua masalah tersebut ada jalan keluarnya. Dan jalan keluarnya adalah hanya dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah bukannya dengan melupakan-Nya dan semakin jauh daripada-Nya.

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Al-Talaq 65: 2-3)

Dan ingat, Allah juga berfirman kepada para hamba-Nya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”

(Al-Baqarah 2: 286)

 

Bab 2: Mengapa Allah S.W.T. menguji para hamba-Nya.

1. Allah hendak menunjukkan kekuasaaan-Nya.

Kerana Allah berhak melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki-Nya. Ini juga membuktikan betapa lemahnya manusia ini. Sebagai contoh, manusia yang kaya tetapi menghidapi penyakit kanser tetap tidak dapat menyembuhkan penyakit tersebut. Walaupun dia mampu untuk membayar segala jenis doktor pakar untuk merawatnya. Hal ini kerana, kuasa menyembuh hanya terletak pada Raja Segala Doktor iaitu Allah Azza Wa Jalla.

Sebagaimana firman-Nya:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku”

(As-Syu’ara 67: 80)

2. Allah hendak menggantikan dengan yang lebih baik.

Dan ini mempunyai maksud yang agak mendalam. Sebagai contoh, Ustaz Mohd Abdullah Al Amin mengatakan semasa banjir di Johor, ada seorang pak cik mengadu kepada beliau dan mengatakan habis perabut yang digunakan selama 40 tahun dimakan air banjir. Tetapi, alhamdulillah, anak-anak pak cik tersebut telah berpakat untuk kongsi duit untuk membeli perabut yang baru. Begitulah antara caranya Allah menggantikan sesuatu yang baru. Jadi pastikan kita tidak sesekali mengeluh dengan ujian Allah.

 

3. Kerana Allah hendak memberi pahala kepada kita.

Dan pahala itu datang kerana anda semua bersabar dengan ujian yang menimpa. Kerana mana mungkin anda boleh bersabar jika anda tidak ditimpa ujian. Kan pelik kalau tiba-tiba ada orang datang kepada anda nasihat supaya bawa bersabar padahal anda tak sakit, tak marah dan tak rasa apa-apa pun. Ingatlah, bersabar itu adalah kunci syurga seperti yang dikatakan Syeikh Zaini Ahmad. Selain itu, anda juga akan mendapat pahala kerana bersangka baik kepada Allah dalam setiap ujian-Nya.

 

4. Allah hendak menghapuskan dosa anda.

Kerana ujian dan musibah itu juga sebagai kafarah dosa. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W:

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

5. Ujian itu ditimpa sebagai bala.

Tetapi ingat bahawa tidak semua ujian itu bala. Dan disebabkan kekurangan penulis, saya agak kurang faham akan point ini. Untuk lebih faham, anda semua boleh mendengar kuliah daripada Ustaz Mohd Abdullah Al Amin itu sendiri. Link akan disediakan di bahagian rujukan di bawah nanti.

 

Bab 3: Cara hendak keluar daripada Ujian tersebut.

Iaitu dengan bersabar dan solat. Sebagaimana Firman Allah:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan bersabar dan mengerjakan solat;

 (Al-Baqarah 2: 45)

Berdasarkan ayat di atas, Ustaz Mohd Abdullah Al Amin menerangkan konsep bersabar dan solat dalam konteks ujian iaitu:

1. Bersabar itu bermaksud tenang dengan ujian dan jalan yang pertama harus kita lakukan dengan memahami bahawa ada hikmah yang tersembunyi disebalik ujian tersebut. Caranya adalah dengan memastikan minda kita sentiasa berfikiran positive bukannya pasrah dengan takdir Allah S.W.T. Yakinlah bahawa di setiap ujian yang menimpa kita ini ada jalan keluar dan kebaikan yang tersembunyi.

2. Solat itu pula bermaksud kita meminta hidayah petunjuk daripada Allah untuk membantu kita dalam membuat sesuatu keputusan. Kerana hidup ini adalah keputusan dan orang yang lemah adalah orang yang tidak tahu untuk membuat keputusan. Manakala, orang yang rugi pula adalah orang yang tersilap dalam membuat keputusan. Dalam konteks ini juga, Ustaz Mohd Abdullah mengatakan bahawa kaum lelaki harus berlatih membuat keputusan sama ada kecil atau pun besar. Contohnya, jika isteri anda tanya hendak minum air apa, jangan cakap buat je air apa-apa, sebaliknya katakan kepada isteri kesayangan anda akan air yang anda hendak minum.

Dan sedar atau tidak sebenarnya kita sentiasa berdoa kepada Allah sekurang-kurang tujuh belas kali sehari untuk meminta hidayah daripada-Nya. Dan doanya adalah seperti di bawah:

 اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

“Tunjukilah kami jalan-jalan yang lurus.”

(Al-Fatihah 1: 6)

Kesimpulannya.

Jika anda ditimpa ujian yang berat atau berhajat kepada sesuatu, bersabar dan solatlah. Yakinlah bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Insya Allah, semoga kita semua dapat bersama-sama melakukannya dan tabah menghadapi segala ujian dan musibah yang menimpa. Aamin.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

  1. Ustaz Mohd Abdullah Al Amin – Ujian Sabar Dan Solat 

Comments

comments

Related Post

Kesabaran Dalam Islam ﷽ Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarg...
5 Kelebihan Orang Yang Bersabar ﷽ Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W. dan tiada nabi lagi selepasnya. Pembawa rahmat Keselur...



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Never Miss A Post

 

Masukkan Email Anda Untuk Elakkan Anda Daripada Terlepas

Membaca Post Terbaru Malaya Journal

Thank You!

Welcome To Malaya Journal Family.